WELCOME TO MY BLOG

Tuesday, May 26, 2009

Perginya tanpa pesan dan banyak menabur bakti : ADUN

Seperti biasa pada setiap minggu pada hari Ahad dan Selasa, saya akan berada di bilik saya bersebelahan dengan bilik Pegawai Khas, Hj Mohd Naaim yang telah kembali ke Rahmatullah pada 18 Mei 2009 lalu untuk menerima kunjungan tetamu dan ketua kampong yang ingin berurusan. Tetapi sejak kelmarin dulu (Ahad) dan hari ini (Selasa), saya memaksa diri untuk meninjau bilik pegawai khas saya yang terdapat segala fail-fail tentang surat menyurat berkaitan urusan dengan pelbagai jabatan, dokumen berkaitan ketua kampong/MKK, borang permohonan projek pembangunan dan lain-lain borang-borang yang telah disediakan olehnya.
Sepanjang hari tersebut, saya mengambil alih tugas yang ditinggalkannya, barulah saya sedar bahawa banyak tindakan yang telah diambil olehnya sebelum ini tanpa pengetahuan saya telah berjaya membantu meringankan tugas saya dan peranan ketua kampong. Banyak borang yang dibuat, penyusunan fail-fail mengikut kod dan jadual lawatan ke cawangan dan UPU ditampal untuk memudahkan rujukan dan tindakan susulan. Apa yang peliknya, beliau tidak pernah menceritakan apa yang dibuatnya itu kepada sesiapapun hatta saya selaku bosnya di PKWR.
Ternyata beliau seorang yang gigih dan tekun bekerja tanpa mengira masa. Ramai orang bercakap bahawa payah nak cari orang macam Hj Naaim ni. Pada saya sungguh sukar mencari pengganti seperti beliau yangt boleh dikatakan biliknya di PKWR seperti rumahnya. Jadi, biarlah saya menganalisa segala kerjabuat yang ditinggalkan tanpa perlu tergesa-gesa mencari pengganti yang belum teruji kelayakan dan kebolehannya.
Hari ini, saya telah memanggil anak keempatnya, Fatimatul Zahra agar menyerahkan segala dokumen-dokumen peribadi keluarganya untuk tindakan segera bagi mendapatkan bantuan khas pendidikan. Anak-anaknya seramai 8 orang, yang sulung akan menyambung pengajian di Kolej Komuniti di Jitra pada Julai 2009, yang kedua berada di Tahun 1 UKM Bangi jalam jurusan Usuluddin dan Falsafah, yang ketiga dalam Tingkatan Enam di Kolej Islam Sultan Alam Syah (KISAS) di Kelang dan yang keempat akan masuk Tingkatan Enam di SMKA Labu, Negeri Sembilan, yang kelima sedang menderita sakit kanser otak dan OKU serta sentiasa keluar masuk wad, yang keenam dan yang ketujuh masih belajar di Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam dan yang kelapan berusia 2 tahun 6 bulan. Isterinya, Jamilah Bt Mohamad tidak bekerja.
Hari ini juga, wakil peribadi saya, Pak Wan Yusuf berurusan dengan Tuan Penghulu Mukim Jerlun berusaha untuk membolehkan keluarganya mendapat bantuan rumah. Rumahnya sebelum ini telah rosak akibat banjir kilat pada Oktober 2007 lalu. Dalam tempoh tersebut, beliau dan keluarganya tinggal di Pondok Ayer Hitam. Sebelum ini, saya pernah mengarahkan beliau memberi maklumat tentang keadaan rumahnya yang rosak, status tanah dan merakam gambar bagi tujuan untuk mendapatkan bantuan rumah tetapi beliau tidak mempedulikannya. Bagi beliau, utamakan kepentingan orang lain dahulu dan beliau mengambil sikap 'tak apa' dalam segala hal.
Saya menyeru kepada pembaca blog ini yang berhajat menyalurkan zakat atau sedeqah kepada keluarganya boleh berbuat demikian dengan menghubungi saya secara telefon atau datang ke pejabat. Insyaallah niat baik kita semua untuk membantu keluarganya akan mendapat ganjaran yang selayaknya daripada Allah Azzawajalla.Amin.

Monday, May 18, 2009

Saya kehilangan Amilin yang gigih- Ust Ghani

Sekitar jam 5.45 pagi, saya telah menerima panggilan telefon daripada Wakil Peribadi, Pak Wan Yusuf yang memaklumkan bahawa Pegawai Khas saya, Hj Mohd Naim telah kembali ke rahmatullah pada jam 4 pagi di Hospital Jitra. Beliau memaklumkan bahawa Hj Naim meninggaldunia akibat sakit penat. Saya terpinga-pinga dan mengeloh kerana tiada beritapun yang sampai kepada saya sebelum beliau dibawa ke Hospital.


Kali terakhir saya bersama Hj Mohd Naim ialah pada pagi Jumaat (15 Mei 2009) ketika saya, Pak Wan dan Pak Ngah Harun mengambilnya di PKWR jam 5.30 pagi untuk Solat Subuh di Masjid Kg Sanglang. Selepas Solat Subuh, kami dijemput ke kedai arwah bang Li oleh anaknya yang sangat berhajat agar saya membuat tahlil untuk roh bapanya. Selepas selesai menikmati sarapan pagi, kami bertolak ke PKWR.


Tiba di PKWR, beliau meminta izin saya untuk pulang kerana mendapat panggilan telefon daripada isterinya, Kak Milah bahawa anak-anaknya demam. Saya benarkan dan nasihatkan agar utamakan keluarga dan rumahtangga manakala program yang beliau susun pada hari itu akan saya uruskan dengan Pak Wan.


Saya dan Pak Wan pergi ke rumah Hj Abu Seman, Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu untuk meninjau keadaan sebuah rumah yang digenangi air akibat hujan lebat petang sebelumnya. Selepas itu, kami menuju ke Lana Bulu menziarahi kematian ibu kepada Hj Hashim, bekas Bilal Masjid Lana Bulu. Selanjutnya kami menziarahi pula menantu Tok Chin Wak di Kubang Sepat yang meninggaldunia akibat serangan jantung. Selepas itu, kami menuju ke nat Kuala Jerlun bersama Ketua Kampong Tandop Kedabu, Pak Hassan dan Ketua Kampong Kuala Jerlun, Fadzil.


Kira-kira sejam di sana, saya dan Pak Wan bertolak pulang dan saya tunaikan Solat Jumaat di Masjid Kubang Rotan. Sekitar jam 3.45 ptg, saya ke jeti Kuala Kedah untuk ke Langkawi kerana memenuhi dua urusan penting iaitu usrah BPPNK selepas Maghrib dan mesyuarat BPPNK keesokkannya.


Keesokannya, hari Ahad, saya bertolak ke PKWR kira-kira jam 10.00 pagi. Apabila tiba di pejabat, saya mendapati pintu pejabat masih berkunci. Saya terus menelefonnya dan beliau hanya memaklumkan tidak sihat @ penat. Apabila saya tanya tentang keadaan anak-anaknya, beliau hanya menyebut anaknya masih di wad 5A Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Beliau langsung tidak menceritakan halnya dan keluarganya kepada saya tentang apa yang berlaku sepanjang saya berada di Langkawi. Kemudian saya menghubungi Pak Wan dimana dia akan ke rumah Hj Naim untuk mengambil kunci.


Apabila Pak Wan tiba di PKWR, beliau telah menceritakan kepada saya tentang isterinya dan anak-anaknya yang sakit dan berada di wad di Hospital. Saya bercadang akan menziarahi anak-anaknya pada jam 5.00 petang. Di PKWR, saya sempat meneliti beberapa tugasan dan mula didatangi oleh beberapa sahabat seperti Zulkifli Md Isa, Ust Azhari, Hj Marzuki dan Hj Abu Seman. Kami berbual panjang tentang isu semasa, isu muktamar PAS Pusat dan sebagainya.


Tanpa disedari masa sudah berlanjutan hingga 6.30 petang. Saya bergegas menunaikan Solat Asar dan bergerak pulang. Dalam perjalanan pulang, saya menerima SMS daripada bapa saudara, Onn yang ingin berjumpa dengan saya. Saya tiba di rumah selepas Solat Maghrib di Surau Taman Sayang. Saya mengeluh dan menyesal kerana tidak sempat menziarahi Hj Naim dan anak-anaknya di Hospital. Saya bercadang akan menziarahi mereka pada hari ini selepas selesai 2 mesyuarat di Menara BDB dan di Wisma Darul Aman.


Cadangan hanya tinggal kenangan apabila saya mendapat berita tentang kematiannya pada pagi tadi. Sekitar jam 7.50 pagi, saya sudah sampai di rumah ibu bapanya dan sebak melihat jenazahnya terbujur kaku di hadapan isteri dan anak-anak. Saya cukup sedih dan bersimpati dengan apa yang berlaku. Saya telah menyerahkan wang melalui Ust Ridhuan untuk diserahkan kepada Kak Milah kerana saya tidak tahan dengan suasana sedih tersebut.
Ramai kalangan sahabat handai beliau yang datang menziarahi dan solat jenazahnya di Surau Pondok Ayer Hitam. Ust Mohd Rejab, Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Jerlun telah mengimamkan solat jenazahnya dan saya berada di belakangnya dan berdoa untuknya.
Saya pasrah dengan apa yang berlaku dan saya meredhai segala ketentuan Ilahi.llah telah menjemputnya dalam keadaan kami begitu rancak menyusun program PKWR, bertemu rakyat, berdialog dengan UPU,memantau peranan Ketua Kampong dan berbagai-bagai lagi.

Saya kehilangan seorang Pegawai Khas yang setia, berdedikasi dan sabar dalam kehidupannya.
Saya mendoakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan semoga beliau ditempatkan di Syurga bersama-sama para Anbiya, Syuhada dan Solihin, Amin.

Thursday, May 14, 2009

Kaum Cina tidak dilupakan- -ADUN

Perjumpaan & Dialog













Kuala Sanglang-13 Mei 2009

Pada jam 8.00 malam, dalam kesibukan tugas harian, YB Ust Hj Abd Ghani sempat meluangkan masa menziarahi kematian kaum cina di Kampung Kuala Sanglang dan menyampaikan sumbangan kepada anak mendiang. Turut hadir bersama YB ialah Pegawai Khas, Setiausaha Penerangan PAS Kawasan Hj. Ghazali Md. Isa, Ketua Kampung Kg. Sanglang, En. Mat Jam dan Ketua Kampung Tok Mengkula En. Mahayudin.

Pada jam 9.30 malam, YB juga menghadiri perjumpaan dan dialog bersama Ahli Jawatankuasa UPU Kubang Sepat,ahli-ahli PAS cawangan sekitar UPU tersebut dan Ketua Kampong. Dalam dialog tersebut, YB Ust Ghani menjawab segala persoalan berkaitan pembangunan dan fungsi Ketua Kampong dalam memajukan sebarang permohonan projek seharusnya melalui Tuan Penghulu Mukim untuk dipanjangkan kepada Tuan Pegawai Daerah.

Tuesday, May 12, 2009

Fungsi Masjid perlu diimarahkan-Timbalan Speaker






TELAGA BATU, 9 Mei 2009-Timbalan Speaker DUN Kedah mengingatkan kepada semua Imam dan AJK Masjid agar berperanan lebih gigih lagi ke arah mengimarahkan fungsi masjid dalam kariah masing-masing. Masjid bukan setakat berfungsi ketika solat berjamaah atau solat Jumaat sahaja sebaliknya pengisian program seperti kuliah ilmu, kelas pengajian kitab oleh guru-guru agama yang berkelayakan, kem motivasi dan sebagainya haruslah diprogramkan secara berkala pada setiap minggu dengan penglibatan anak-anak kariah.
"Sebagai contoh, Rasulallah SAW telah membina Masjid Quba yang bukan sahaja sebagai masjid semata-mata tetapi berfungsi sebagai tempat penyatuan ukhuwwah Islamiyyah antara Aus dan Khazraj ketika baginda tiba di Yathrib (sekarang dikenali al-Madinah al-Munawwarah), menyusun strategi peperangan, membincangkan sistem pentadbiran kerajaan Islam selain menyuburkan pengajian ilmu-ilmu Islam di kalangan umat Islam ketika itu" katanya.
Beliau yang juga ADUN Ayer Hitam berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan dengan Imam-Imam dan AJK Masjid seluruh kawasan Jerlun di Pondok Ust Hj Md Rejab B Mat Akhir di sini.
Selepas majlis tersebut, YB ADUN Ayer Hitam dibawa melawat oleh Ust Hj Md Rejab selaku pengasas pondok tersebut melihat pondok-pondok yang wujud sekitar 80 buah oleh orang-orang yang kebanyakkannya datang daripada luar.

Sehari bersama rakyat-Ust Ghani
















10.00 pagi - Kg Pida 5 Matang Gelok

Saya bersama dua orang pegawai khas, Wan Yusuf B Wan Jusoh dan Hj Mohd Naim B Hj Musa telah menziarahi jenazah Hj Othman (Tok Man Jin) yang telah meninggaldunia akibat sakit kencing manis sejak beberapa bulan lalu. Saya difahamkan bahawa keadaan sakitnya semakin kritikal dan dinasihatkan kepada warisnya agar membawa pulang. Saya mendoakan Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, Amin.
11.00 pagi - Kg Kuala Sanglang
Saya dimaklumkan oleh wakil peribadi bahawa terdapat satu lagi kematian di Kg Kuala Sanglang iaitu Encik Osman yang merupakan penggerak PAS cawangan. Kematiannya akibat sakit stroke dan terlantar sakit di rumah sejak beberapa bulan lalu. Saya sempat bertemu AJK PAS cawangan yang memaklumkan tentang punca kematiannya. Saya sempat solat jenazah dan diimamkan oleh Ust Nasir B Abd Ghani iaitu AJK DPP Kawasan Jerlun.
11.30 pagi - Kampong Sanglang
Dalam perjalanan ke sana, saya sempat bercakap dengan Penghulu Mukim Sanglang, Encik Mohd Amin B Yahya untuk berbincang hal-hal kemajuan kampong. Saya telah mempelawanya untuk minum pagi di salah satu warong di Pekan Sanglang. Turut serta Ketua Kampong, Encik Mat Jam B Man bersama hardcore PAS cawangan iaitu abang Ramli dan Che A. Kami banyak berbual isu politik semasa berkaitan kemenangan YAB Dato Seri Ir Mohd Nizar dalam kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin dan perancangan untuk mengadakan perjumpaan dengan semua Penghulu dalam Kawasan Jerlun.
Selepas minum bertolak balik dan singgah sekejap di Pasar Kerpan berbual dan bertanya khabar peniaga-peniaga disana.
12.30 tgh - bertugas di PKWR
Apabila pulang ke PKWR, terdapat Ketua Kampong yang mengunjungi saya dan memaklumkan telah menghantar senarai nama bancian bantuan rumah golongan miskin di kampongnya. Selepas itu, saya meminda dan menyemak senarai rancangan kecil peruntukkan YB bagi tahun 2009 untuk dihantar ke pejabat UPEN. Dalam meneliti rancangan tersebut, tindakan saya terhenti sementara kerana melayani kunjungan teman lama dalam saf pimpinan DPP PAS Jerlun. Dalam perbualan lebih kurang 45 minit, saya meminta diri untuk mengambil anak-anak di SRIDA mulai jam 4.30 petang.

Ziarah,Lawatan dan sumbangan kepada mangsa kebakaran















07 Mei 2009 (Khamis)

10.00 pagi

YB Ust Hj Abd Ghani, Timbalan Speaker DUN Kedah bersama Wakil Peribadi dan Pegawai Khas menziarahi Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Jerlun yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya di Pekan Kodiang.

10.30 pagi

Selepas itu beliau melapangkan masa menziarahi Ketua Kampung Tok Arang, Pering, Encik Mat Arof Baharom yang sedang berehat di rumahnya. Kami berbual tentang isu politik semasa di samping mengambil maklum tentang tugasan sebagai ketua kampong dengan masyarakat.

11.00 pagi

Kemudian beliau bersama Setiausaha Dewan Muslimat PAS Kawasan Jerlun, Cik Aishah Bt Don dan dua orang AJK Dewan Muslimat PAS Kawasan Jerlun, Puan Jamilah Bt Mohamad dan Puan Siti Hajar Bt Ismail menziarah AJK Dewan Muslimat PAS Kawasan Jerlun, Puan Habsah Bt Awang yang menghidapi penyakit chingukunya dan keadaanya dilaporkan stabil selepas mengambil ubat di klinik.

11.30 pagi

Beliau juga mengambil peluang dengan menziarah Encik Jasni B Ahmad, Ketua Kampung Pering yang demam sejak 2 hari lalu. Beliau juga berkesempatan melawat kebun anggur yang diusahakan di belakang rumahnya. Beliau turut memuji kegigihan Encik Jasni yang minat dengan bidang pertanian dan mempelbagaikan produk pertanian seperti membeli getah skrab, memelihara ayam, burung dan bercadang pula untuk menanam jagung kerana pasarannya semakin berkembang. Tambahan pula Kerajaan Negeri telah menggazetkan Kedah Utara sebagai pusat penanaman jagung untuk dieksport ke luar negara.

12.30 tengahari

YB Ust Hj Abd Ghani menemui Ketua Kampong Telaga Batu, Hj Othman yang mudah dikenali dengan panggilan Pak Long Man bergerak menuju ke Kampung Changkat Tok Raman untuk menziarahi rumah Encik Zulkifli B Hashim iaitu mangsa kebakaran. Dalam pertemuan ringkas, YB Ust Hj Abd Ghani telah menyampaikan sumbangan barang-barang keperluan dapor kepada mangsa kebakaran tersebut.

Thursday, May 7, 2009

Golongan dhaif tidak dilupakan - Ust Ghani




Kuala Jerlun-05 Mei 2009

Wakil peribadi dan Pegawai Khas ADUN Ayer Hitam bersama Ketua Kampung Tandop Kedabu telah mewakili YB Ustaz Hj Abd Ghani B Hj Ahmad menyampaikan sumbangan beras dan barang-barang keperluan dapur kepada fakir miskin di sekitar Kuala Jerlun. Sumbangan seperti ini akan didakan ke seluruh kampong dengan kerjasama ketua kampong/MKK.

Wednesday, May 6, 2009


Saya bertuah bertugas dengan tiga Menteri Besar - Syed Unan Mashri

Oleh: WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR, 4 Mei: “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri yang telah memberi peluang dan kepercayaan kepada saya untuk menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.”

Itulah antara kata-kata Setiausaha Kerajaan Negeri, YB. Dato’ Bijaya Indera Dato’ Paduka Haji Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahabudin ketika menyampaikan ucapan pada majlis perhimpunan bulanan bersama kakitangan Wisma Darul Aman di Pekarangan Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, peluang dan kepercayaan yang diberikan itu, secara tidak langsung memudahkannya menjalankan tugas dengan lebih mudah dan sekiranya timbul sebarang masalah, dia akan berjumpa dengan Menteri Besar untuk menyelesaikan masalah itu.

“Semenjak saya memegang jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, banyak program dan acara dijalankan di peringkat negeri dan saya merasa bertuah kepada dapat bertugas dengan tiga Menteri Besar dalam tempoh empat tahun setengah,” jelasnya.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada ketua jabatan, pegawai kerajaan dan kakitangan Wisma Darul Aman kerana memberi sepenuh kerjasama kepadanya dalam menjalankan perkhidmatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kita juga merasa bertuah kerana dapat menganjurkan Perayaan Jubli Emas Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah Ke-81 baru-baru ini dan turut mempunyai sebuah bangunan yang baru untuk kakitangan Wisma Darul Aman bertugas di sini,” ujarnya.

Sebagai kakitangan kerajaan, katanya, kita adalah nadi dari segi pentadbiran dan menjadi tempat untuk menyalurkan keputusan-keputusan kerajaan di mana kita patut merasa bertuah kerana dapat bertugas di Wisma Darul Aman.

Dalam hal ini, tambahnya, setiap daripada kakitangan kerajaan perlulah meningkatkan lagi keupayaan mereka ke tahap yang lebih tinggi serta mampu melaksanakan tugas yang diberikan itu dengan lebih baik lagi.

Mesyuarat Agung PAS Kawasan Jerlun Ke-48 2009
















PAS Kawasan Jerlun telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-48 pada 1 Mei 2009 (Jumaat) lalu. Ia telah dirasmikan oleh YAB Dato Seri Ustaz Hj Azizan B Abdul Razak, Pesuruhjaya PAS Kedah dan juga Menteri Besar Kedah Darul Aman.

Majlis perasmian tersebut dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh Ustaz Tantawi, mahasiswa daripada KUIN (Insaniah). Selepas itu ucapan aluan oleh Hj Azhar B Ibrahim selaku Setiausaha PAS Kawasan dan juga Pengarah Panitia Mesyuarat Agung. Selepas itu ucapan Yang DiPertua PAS Kawasan Jerlun, YB Ust Hj Abd Ghani B Hj Ahmad yang juga Timbalan Speaker DUN Kedah dan ADUN Ayer Hitam. Ketika berucap, beliau telah memfokuskan dua perkara utama untuk diambil perhatian oleh perwakilan iaitu peranan pimpinan PAS dalam institusi kerajaan dan kaedah menyemarakkan sokongan kepada PAS dalam PRU 13 akan datang.
Setelah PR memerintah negeri Kedah, terdapat pimpinan PAS yang dipilih menduduki jawatan di institusi kerajaan seperti Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu, Ketua Kampong/MKK yang berganding bahu dengan Penghulu selain daripada Imam dan AJK Masjid. Oleh itu dengan kuasa yang ada mereka diharapkan mampu membawa idealisma perjuangan PAS ke arah menyediakan perkhidmatan yang selesa dan memudahkan urusan pentadbiran antara kerajaan dan rakyat.
Perkara kedua yang difokuskan ialah perlunya agenda bertindak yang tersusun dengan program-program di bawah lajnah-lajnah antaranya Kelab Penyokong PAS yang mana beberapa pertemuan dengan kaum Cina dan Siam berjaya di adakan. Semua ini merupakan langkah awal ke arah menyemarakkan sokongan terhadap PAS di kalangan bukan Islam untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 nanti.
Selain daripada itu, peranan ulamak yang menjadi tonggak kepada PAS wajar berperanan dengan lebih hebat lagi bagi mendekati golongan agama di kampong, al-malak yang dihormati dan imam-imam dan AJK Masjid seluruh kampong agar mereka tidak ketinggalan dalam menyokong perjuangan Islam.
Selanjutnya, ucapan YAB Dato Seri Menteri Besar pula menegaskan bahawa perjuangan Islam yang dipimpin oleh PAS telah mendapat sokongan padu daripada masyarakat berbilang kaum khususnya di negeri Kedah sehingga membolehkan PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR) membentuk kerajaan pada 8 Mac 2008 lalu.
Beliau juga menekankan betapa pentingnya tarbiyyah di kalangan pimpinan dan ahli PAS perlu ditekankan kerana generasi pimpinan sekarang merupakan generasi yang mendapat tarbiyyah perjuangan PAS di era tahun 60-an dan 70-an. Oleh itu, golongan muda perlu disuntik dengan semangat juang dan tarbiyyah yang tinggi.
Menyentuh tentang pertandingan jawatan dalam parti khasnya jawatan Yang DiPertua PAS, YAB Menteri Besar mengingatkan bahawa pemimpin yang baik dan mampu membawa PAS ke arah yang lebih maju ke hadapan haruslah diutamakan walaupun amalan demokrasi dalam PAS mengizinkan pemimpin bertukar ganti. Apa yang penting janganlah ditendang bila tidak suka dan diangkat pemimpin bila suka.
Perjalanan Mesyuarat Agung Tahunan bermula selepas Maghrib hingga jam 1.00 pagi. Agenda mesyuarat berjalan lancar di mana perwakilan mempersoalkan segala perkara yang berkaitan dengan aktiviti lajnah di samping mengemukakan beberapa cadangan ke arah penambahbaikan aktiviti lajnah terutamanya penekanan lajnah tarbiyyah dari sudut menggandakan usrah dan kuliah ilmu ke cawangan-cawangan.
Sementara perjalanan mesyuarat berlangsung, SPR telah diberi ruang untuk mengumumkan nama-nama calon yang menang khasnya bagi calon Yang Dipertua di mana berlaku pertandingan dua penjuru antara YB Ust Hj Abd Ghani B Hj Ahmad dan timbalannya, Hj Ismail B Wan Teh. Kemenangan jawatan Yang DiPertua telah memihak kepada YB Ust Hj Abd Ghani dan Hj Ismail B Wan Teh dicalonkan semula dengan jawatan lamanya iaitu Timbalan Yang DiPertua. Naib Yang DiPertua pula disandang oleh muka baru iaitu Cikgu Hj A Wahab Bin A Rahman dengan menang tanpa bertanding. Seramai 16 orang AJk yang dipilih yang kebanyakkannya AJK sesi lalu.