WELCOME TO MY BLOG

Tuesday, May 25, 2010

Haji Mat Isa Hassan Tokoh Guru Negeri Kedah 2010

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR


JITRA, 24 Mei: “Tugas seorang guru dalam mendidik anak bangsa tidak pernah terhenti walaupun bertukar jawatan dan guru tetap guru biar apa pun jawatan yang dipegang.”

Itulah kata-kata Tokoh Guru Peringkat Negeri Kedah 2010, Haji Mat Isa Hassan, 64, yang mengabdikan dirinya dalam bidang pendidikan selama lebih 35 tahun.

Meskipun memegang pelbagai tugas termasuk dari peringkat sekolah sehingga pentadbiran di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, namun semuanya tertakluk kepada konsep mendidik.

Menurut bekas Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan JPN Kedah itu, segala pengalamannya di dalam bidang pendidikan bermula apabila beliau menjadi guru sementara pada tahun 1965.

“Walaupun bertukar jawatan menjadi pentadbir, kita masih menjadi pendidik tetapi dalam kaedah yang berbeza-beza dan oleh itu, tanggungjawab sebagai guru tidak pernah terhenti walaupun bertukar jawatan dan ini yang kita perlu pegang sebagai seorang pendidik,” katanya.

Haji Mat Isa dianugerahkan Tokoh Guru Peringkat Negeri Kedah 2010 sempena majlis pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah di Institut Pendidikan Guru, Kampus Darul Aman, di sini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah.

Haji Mat Isa yang mempunyai empat anak dan dua cucu memulakan karier sebagai guru sementara di Sekolah Kebangsaan Pokok Asam, Pendang pada tahun 1965 dan pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) pada tahun 1970.

Antara jawatan yang pernah dipegang beliau ialah Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Lubuk Merbau (1980 hingga 1988), Pegawai Pelajaran Daerah Kubang Pasu (1993 hingga 1998) dan Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan JPN Kedah dari tahun 1998 sehingga pencen pada tahun 2000.

Sunday, May 23, 2010

Fuji turut kesal kenyataan tidak betul bekas Exco

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR, 19 Mei: Pada tahun 2008, terdapat lima pelaburan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di mana terdapat sebanyak 599 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM2.075 bilion.

Pada tahun 2009, terdapat tujuh pelaburan di KHTP di mana terdapat sebanyak 970 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM0.961 bilion.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir. Haji Amiruddin Hamzah, pada dua bulan pertama tahun 2010, terdapat dua pelaburan baru di KHTP di mana terdapat sebanyak 1,382 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.529 bilion.

Amiruddin menafikan kebimbangan Pengerusi MCA Kedah, Dato’ Chong Itt Chew yang menyifatkan beliau sebagai ‘syok sendiri’ apabila mendakwa jumlah pelaburan di taman perindustrian itu terus meningkat dan tiada kilang yang ditutup.

“Tentang Fuji, pada mula ekonomi gawat iaitu pada tahun 2008, memang Fuji ada menawarkan VSS kepada 500 orang pekerja dan hanya tinggal sebanyak 1,100 orang pekerja pada masa itu, tetapi pada suku kedua 2009, berlaku peningkatan pengeluaran Fuji dan Fuji telah menawarkan sebanyak 900 peluang pekerjaan termasuk yang telah ditawarkan VSS sebelum ini menjadikan jumlah pekerja Fuji kini hampir 2,000 orang,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, ini bermakna pekerja pada masa ini sudah meningkat berbanding sebelum ini.

“Fuji Electric antara pelabur utama di KHTP kononnya telah memindahkan operasinya ke Filipina sehingga menyebabkan 2,000 pekerja kehilangan pekerjaan adalah satu benda yang tidak betul,” katanya.

Tambahnya, Fuji merasa kesal terhadap apa yang diperkatakan oleh Dato’ Chong Itt Chew berhubung perkara itu.

“Saya akan berhubung dengan Fuji dan menyerahkan kepada mereka (Fuji) untuk mengambil tindakan terhadap Dato’ Chong Itt Chew sekiranya beliau terus memburuk-burukkan Fuji,” ujarnya.



Berlaku kesalahan fakta bilangan pekerja yang ditawarkan VSS sebenarnya adalah 500 orang sahaja - Kenyataan rasmi Fujielectric

Dakwaan Chong Itt Chew karut! Ini dia fakta pelaburan KHTP

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR: Pekerja syarikat perisian Intel Corporation di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) tidak ditamatkan perkhidmatan meskipun tiga unit firma itu ditutup.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir. Haji Amiruddin Hamzah berkata, berikutan penutupan itu, mereka hanya ditukarkan ke unit lain.

“Jaminan tidak akan ada pekerja yang akan diberhentikan dibuat sendiri oleh Intel Corporation kepada Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, tiga unit ditutup kerana syarikat itu mahu memindahkan unit berkenaan ke Amerika Syarikat dan ini perkara biasa dalam bidang perniagaan, terutama berkaitan teknologi.

Amiruddin menafikan kebimbangan Pengerusi MCA Kedah, Dato’ Chong Itt Chew yang berkata, Kedah mungkin kehilangan pelaburan ratusan juta ringgit kerana kegagalan Kerajaan Negeri menguruskan KHTP.

“Kenyataan Dato’ Chong Itt Chew tidak benar kerana pelabur di KHTP semakin meningkat dan sehingga Februari tahun 2010, KHTP berjaya memperoleh pelaburan sebanyak RM1.529 bilion,” katanya.

Jelasnya, nilai bagi dua bulan itu sudah melebihi daripada pelaburan tahun 2009 iaitu sebanyak RM961.4 juta yang mampu menawarkan 970 peluang pekerjaan.

“Mustahil Kerajaan Negeri gagal menguruskan KHTP kerana sehingga kini tiada kilang yang ditutup atau keluar dari KHTP kerana masih terdapat 50 kilang beroperasi dan trend pelaburan juga menunjukkan terdapat pelabur baru,” tambahnya.

Spekulasi DUN Kedah bubar berakhir

Ahad, 23 Mei 2010 07:00 - Terakhir Dikemaskini Ahad, 23 Mei 2010 07:17

KOTA SARANG SEMUT, 22 Mei - Spekulasi kononnya Menteri Besar YAB Dato' Seri Azizan Abdul Razak akan membubarkan DUN ekoran empat ADUN dari gabungan parti kerajaan yang memerintah akan 'melompat' parti berakhir apabila keempat-empat ADUN yang dilibatkan membuat penegasan bahawa mereka sekali-kali tidak akan keluar parti dan menyatakan sokongan padu kepada Menteri Besar.

Keempat-empat ADUN tersebut ialah YB Lim Soo Nee (PKR Kulim), YB Tan Chow Kang (PKR Sidam), YB S. Manikumar (PKR Bukit Selambau) dan YB Lee Guan Aik (DAP Kota Darul Aman). Keempat-empat mereka berceramah bersama YAB Menteri Besar di hadapan lebih 20 ribu yang membanjiri Kompleks PAS Kedah di sini. Kesemua mereka meminta spekulasi 'lompat parti' ditamatkan segera dan tidak akan menjawab lagi soalan yang sama dari mana-mana pihak, sebaliknya akan menumpukan perhatian kepada tugas.

Wednesday, May 19, 2010

KHTP: Tiada pelabur lari, tiada pekerja dibuang Rabu, 19 Mei 2010 09:47 |

Ditulis oleh Azamin Amin

ALOR SETAR: Kenyataan bahawa imej Kedah terjejas dan mungkin kehilangan pelaburan ratusan juta ringgit kerana kegagalan kerajaan negeri menguruskan Taman Tekonologi Tinggi Kulim (KHTP) - Kulim Hitech adalah tidak berasas.

Ini berikutan pengeluar cip terkemuka dunia, Intel Inc. (Intel) menutup tiga unit firma Intel di KHTP kerana memindahkannya ke Amerika Syarikat manakala kesemua para pekerjanya diserapkan ke bahagian lain dan tidak ditamatkan perkhidmatannya.

Demikian kenyataan Exco Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Asas Tani,Bioteknologi, Bekalan Air dan Tenaga negeri Dato' Ir Amiruddin Hamzah yang membidas kenyataan Pengerusi MCA yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri yang pernah memegang portfolio industri, Dato' Chong Itt Chew.

Katanya kenyataan Itt Chew tidak benar kerana pelabur di KHTP semakin meningkat sehingga Februari ini, KHTP berjaya memperoleh pelaburan sejumlah RM1.529 billion.

"Mungkin dia masih bermimpi pegang portfolio ini dan cuba mengeluarkan komen-komen yang nakal.

"Tidak ada pelabur yang lari malah kita menerima peningkatan pelaburan sejak 2008. Dalam isu Intel, ianya perkara biasa dalam perniagaan terutama berkaitan bidang teknologi," katanya dalam satu sidang media di Wisma Darul Aman, 17 Mei lalu.

Beliau berkata nilai pelaburan dua bulan itu sudah melebih daripada pelaburan tahun lalu iaitu RM961.4 juta yang mampu menawarkan 970 peluang pekerjaan.

"Tidak benar Kerajaan Negeri gagal menguruskan KHTP kerana sehingga kini tiada kilang yang tutup atau keluar daripada KHTP.

"Masih terdapat 50 kilang beroperasi dan trend pelaburan juga menunjukkan terdapat pelabur baru," katanya.

Beliau juga menjelaskan setakat ini belum menerima sebarang panggilan atau pertanyaan daripada pihak pelabur yang bimbang tentang penutupan unit Intel ini atau merasa tidak selamat untuk melabur di Kedah ini.

"Jika 2008 pada awalnya, memang ada kebimbangan itu sehingga ada yang menggelar kerajaan ini sebagai 'Taliban Government'

"... tetapi selepas itu, semua menaruh kepercayaan kepada kerajaan ini dan yakin untuk melabur di sini," katanya.

Kata Amirrudin setakat ini nilai pelaburan yang ada di KHTP sejumlah RM24 billion yang memberi peluang kepada lebih 16,000 pekerjaan kepada pendududk di negeri ini manakala sejak 2008 lalu 80 peratus pelaburan di KHTP ini datangnya daripada pelabur luar negara.

Sunday, May 16, 2010

Menteri Besar lancar Kaunter Bergerak Kutipan Hasil Tanah




SUNGAI PETANI, 10 Mei: Pentadbiran tanah negeri memainkan peranan yang cukup agresif di dalam mengutip cukai tanah seperti mengadakan siasatan, mengeluarkan Notis 6A kepada pemilik tanah termasuklah kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang tidak membayar tunggakan cukai tanah.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak turut menyokong tindakan Pejabat Tanah dan Galian dan Pentadbir Tanah Daerah yang menguatkuasakan undang-undang termasuk tindakan rampasan tanah ke atas pemilik tanah yang enggan membayar tunggakan cukai tanah.

“Saya dimaklumkan bahawa sudah ada tanah milik GLC yang sekarang ini di dalam tindakan Pentadbir Tanah Daerah untuk rampasan dan penguatkuasaan undang-undang ini dilaksanakan tanpa kompromi, adil dan saksama tanpa mengira status pemilik tanah tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kaunter Bergerak Kutipan Hasil Tanah Peringkat Negeri Kedah di SP Plaza, di sini.

Dengan pelbagai kemudahan yang ada, katanya, tidak ada sebab untuk pemilik tanah tidak membayar cukai tanah dan sekiranya rasa tidak mampu untuk membayar semua cukai tanah, kemudahan ansuran boleh dibuat di pejabat tanah.

“Macam-macam kemudahan yang disediakan oleh pentadbiran tanah negeri untuk tujuan memudahkan dan menggalakkan pemilik tanah menjelaskan cukai tanah tetapi segala kemudahan yang ada ini tidak membawa apa-apa makna jika pemilik tanah tidak ada kesedaran atau tidak ada rasa tanggungjawab untuk menjelaskan cukai tanah kepada Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Menteri Besar memberitahu, sekarang ini terdapat kemudahan kaunter bergerak yang mana pejabat tanah akan masuk ke kampung-kampung di mana penghulu-penghulu serta ahli jawatankuasa masjid memainkan peranan yang penting untuk memaklumkan kepada penduduk setempat mengenai kemudahan kaunter bergerak ini.

“Menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjelaskan cukai tanah kerana cukai yang menjana pendapatan negeri ini akan dapat menampung perbelanjaan fizikal seperti pembinaan sekolah, masjid, balai raya dan sebagainya dan sekiranya cukai tidak dibayar, pembangunan yang dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan sewajarnya,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga banyak membelanjakan peruntukan bagi menggalakkan dan mengingatkan pemilik-pemilik tanah tentang tanggungjawab untuk membayar cukai tanah seperti pemasangan iklan-iklan di billboard, banner dan streamers yang dipaparkan di merata tempat.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, YB. Dr. Abd. Isa Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, YB. Dato’ Ir. Phahrolrazi Zawawi; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, YB. Dr. Hamdan Mohamed Khalib; Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, YB. Abdul Ghani Ahmad; Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Dato’ Haji Muhamad Noor Haji Rofie dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Dato’ Haji Abdullah Mat Akhir.

Dana Usahawan untuk menaik taraf para peniaga

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Dana Usahawan yang diwujudkan sejak 2008 oleh kerajaan negeri bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bagi membantu para usahawan kecil mengembangkan perniagaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, YB. Ustaz Abdul Ghani Ahmad berkata, kerajaan negeri bersama PKNK dalam usaha melahirkan usahawan Bumiputera telah berusaha melaksanakan program keusahawanan termasuklah mewujudkan dana usahawan PKNK.

“Di bawah program ini, usahawan-usahawan kecil dapat dibantu menaikkan taraf sedia ada keadaan yang lebih baik.

“Selain itu, usahawan-usahawan yang dikenalpasti menghadapi kesukaran di dalam mendapat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan juga akan dipertimbangkan untuk mendapatkan dana ini,” ujar beliau pada Majlis Penyampaian Cek Dana Usahawan PKNK 2010 di Hotel Regency, di sini.

Menurut beliau, selain daripada dana usahawan ini, kerajaan negeri dengan PKNK telah merancang untuk menubuhkan sebuah pusat pembungkusan dan pelabelan bagi produk makanan untuk membantu usahawan meningkatkan kualiti pembungkusan produk-produk menepati kehendak pasaran hypermarket mahupun luar negara.

“Seminar mengenai kepentingan pembungkusan dan pelabelan telah dilaksanakan oleh PKNK, insyaAllah terdapat beberapa projek yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

“Dengan terlaksananya pusat ini, maka pemantapan pembungkusan dan kualiti dapat ditingkatkan lagi ke satu tahap yang membanggakan,” ujar beliau.

Tambah beliau, para usahawan yang menerima dana ini diharap memanfaatkannya sebaik mungkin serta berpegang kepada mesra peminjam, iaitu mudah pinjam dan mudah bayar bagi memberi peluang kepada usahawan lain menerima dana tersebut.

“Janganlah kita menjadikan masalah kewangan sebagai masalah utama yang akhirnya kita hilang jati diri untuk mula atau berjinak-jinak dengan bidang keusahawanan.

“Jadi, saya seru kepada peminjan agar membayarnya agar memberi peluang kepada mereka yang lain untuk sama-sama bangun mengembangkan bidang perniagaan yang secara tidak langsung dapat memartabatkan perniagaan di kalangan umat Islam,” jelas beliau.

Kampus Insaniah jadi projek pendidikan dan kebajikan

OLEH: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
GUAR CHEMPEDAK – Pendidikan juga adalah merupakan kebajikan. Pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil membuktikan kerajaan negeri menitikberat kebajikan rakyat.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, pembinaan kampus tetap KUIN bukan sahaja dapat mendidik anak bangsa menimba ilmu malah secara tidak langsung rakyat tempatan turut merasai tempias pengaliran wang masuk apabila pelajar luar datang belajar dalam Kedah.

“Ramai orang tanya apakah kesan kepada pembinaan Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil? Ingin saya jelaskan disini, apabila kampus tetap ini siap, ini juga merupakan kebajikan kepada rakyat.

“Sebagai contoh, kolej ini mampu tempatkan 10 ribu pelajar, dan kesemuanya adalah pelajar Kedah, maka duit Kedah hanya belanja dalam Kedah, pengaliran wang keluar hanya berlaku dalam Kedah, tapi jika anak kita belajar di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, duit rakyat Kedah perlu dibelanjakan di sana, maka penduduk sana dapat manfaatnya.

“Tetapi jika ada pelajar luar belajar dalam Kedah, maka rakyat dapat tempiasnya, mereka akan belanja di Kedah, dan rakyat boleh manfaatkan perbelanjaan tersebut,” jelas beliau pada Majlia Penyampaian Bantuan Pejabat Kebajikan Masyarakat dan Skim Kafalah Daerah Yan di Dewan Serbaguna Guar Chempedak.

Tambah beliau, kerja-kerja fizikal telah dilaksanakan sejak September 2009 dan dijangka siap pada September 2012 dan bakal dilengkapi banyak pembangunan fizikal kepada kawasan sekitar tapak kampus.

“Sepanjang jalan dari Kuala Ketil ke Merbau Pulas, dilengkapi dengan tasik seluas 1.2 kilometer, air jernih lagi bersih, dan selepas ini akan jadi tempat lumba perahu antara universiti di Malaysia, dalam hutan kelapa sawit.

“Di sebelahnya kita akan bina masjid seumpama masjid terapung di Terengganu, kita juga telah mendapat penderma untuk pembinaan masjid tersebut,” ujar beliau.

Sehingga kini, sebelum ianya siap sepenuhnya, permintaan untuk melanjutkan pelajaran di kampus ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Ini satu kejayaan kerajaan negeri untuk kebajikan rakyat, iaitu pendidikan. Bagi fakulti perubatan, peruntukkan hanya bagi 50 pelajar, tetapi sehingga kini kita telah terima 83 permintaan daripada pelbagai kaum untuk belajar di sini.

“Universiti Islam Antarabangsa juga telah tempah 44 tempat untuk menempatkan pelajar, ini sahaja sudah hampir 50. Kita juga ada fakulti kejururawatan dan dalam proses mewujudkan fakulti undang-undang,” jelas beliau.

Wednesday, April 28, 2010

Sidang DUN Kedah-publisiti murahan pembangkang

Persidangan DUN Kedah pada 26 April 2010 baru-baru ini menjadi kecoh gara-gara tindakan Ketua Pembangkang, Dato Seri Mahdzir Bin Khalid (ADUN Pedu) mempertikaikan soalan yang dikemukakan oleh Mohd Nasir Bin Mustafa (ADUN Kubang Rotan) kononnya mempertikaikan bidang kuasa KDYMM Tuanku Sultan Kedah.
Soalan yang dikemukakan itu bukanlah bermaksud mengaitkan atau mempersoalkan atau mempertikaikan kuasa Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam tetapi lebih terarah untuk mengetahui mengapa Kerajaan Pusat tidak menghormati kuasa KDYMM Tuanku. Keadaan ini berlaku disebabkan wujud seorang dua Menteri/Timbalan Menteri di Pusat yang 'langkah kepala' Kerajaan Negeri apabila ingin menganjurkan program keagamaan di Kedah sehinggakan ada pihak yang mengatakan ini program istana atau ini program tuanku.
Sepatutnya UMNO/BN Kedah sedar bahawa selama ini merekalah yang menggunakan istana untuk mencari pengaruh setelah rakyat Kedah menolak UMNO/BN dalam PRU 12 lalu. Lagipun, rakyat kini semakin sedar bahawa gelagat UMNO/BN semakin tersepit dengan penolakan rakyat terhadap mereka.
Oleh kerana itulah, wakil rakyat UMNO/BN cuba menagih simpati rakyat dengan mengeksploitasikan istana untuk kepentingan mereka. Cukuplah pembangkang jangan cuba mencari publisiti murahan kerana rakyat semakin celik dengan gelagat mereka.

Tuesday, April 20, 2010

Kempen Terkotor dalam PRK Hulu Selangor-Exco

Sebaik sahaja selesai penamaan calon P094 Hulu Selangor pada 17 April 2010 lalu maka bermulalah siri kempen oleh calon-calon yang bertanding. BN dan PR menggunakan pelbagai bentuk kempen untuk meraih sokongan pengundi agar mengundi calon mereka pada 25 April nanti.
Apa yang menyedihkan saya yang selama ini tidak pernah terdedah dengan bentuk kempen sedemikian meskipun telah masuk bertanding dalam pilihanaraya sejak 3 penggal lalu menjadi bingung dan terkedu bila melihat isu-isu peribadi yang dibangkitkan dalam akhbar dan tv. Terasa mual dan meloya bila UMNO mengunakan isu peribadi Dato Zaid Ibrahim yang mendedahkan beliau kaki judi, kaki botol, kaki perempuan dan sebagainya. Sedangkan ramai pemimpin UMNO yang mengamalkan sikap sedemikian masih ada dan memimpin UMNO.
Jika ini merupakan pukulan maut kepada Dato Zaid maka jelaslah bahawa isu yang dibangkitkan itu merupakan budaya hidup sebahagian pemimpin UMNO yang selama ini tidak diketahui oleh orang UMNO di kampong-kampong. Sedarkah ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO sekalian bahawa Dato Zaid adalah bekas ahli dan pemimpin UMNO. Saya bersyukur kerana beliau telah meninggalkan UMNO dan memilih PKR sebagai landasan perjuangan hidupnya. Jika beliau masih kekal dalam UMNO nescaya isu ini tidak akan dibongkarkan dan orang tidak akan tahu bahawa dalam UMNO ramai kaki minum, kain judi dan kaki perempuan.
Dalam masa yang sama SPR mula membisu. Tidak pula mengulas tentang bentuk kempen yang membangkitkan isu-isu peribadi adalah bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihanraya (Pindaan) 2002. Nampaknya SPR menyebelahi cara kotor kempen UMNO tersebut. Maka benarlah telahan umum sebelum ini bahawa SPR merupakan komponen ke 14 BN hari ini menjadi kenyataan.
Dalam hal ini, saya menyeru agar SPR kembali konsisten dengan kedudukannya sebagai badan bebas yang tidak boleh berat sebelah terhadap kesalahan yang dilakukan oleh UMNO/BN. bersikap adillah dalam menunaikan amanah yang diberikan. Jika ditakdirkan calon BN menang dan Dato Zaid memfailkan saman terhadap kemenangan BN kerana mendakwa UMNO/BN telah memainkan isu peribadi dalam kempen mereka, MAHUKAH SPR MEMBATALKAN KEMENANGAN CALON BN TERSEBUT DAN MENGADAKAN PILIHANRAYA SEMULA?

Lawatan ke Pekan Sehari di Kuala Jerlun

Kelihatan YB Ust Ghani sedang berbincang dengan Encik Jamaluddin iaitu wakil YDP Majlis Daerah Kubang Pasu, Encik Hashim daripada FAMA, Encik Yusuf daripada MADA C II Jitra, Encik Yusof dan Hj Aziz daripada Persatuan Penjaja Kecil Daerah Kubang Pasu, Tuan Hj Ali Mustaza iaitu Penghulu Mukim Jerlun serta Mohd Fadzil, Ketua Kampong Kuala Jerlun. Perbincangan tersebut berkaitan cadangan untuk menaik taraf tapak pasar sehari yang beroperasi pada setiap hari Jumaat dengan kelengkapan ruangniaga yang tersusun dan kelihatan cantik.


Rombongan tersebut juga telah berbincang dengan Puan Shamsiah iaitu tuan tanah yang menjadikan nat Selasa di Pekan Ayer Hitam yang bercadang untuk memindahkan tapak nat tersebut di tapak baru berdekatan Pejabat Pos Ayer Hitam.
Nat Selasa yang telah beroperasi sejak tahun 1950-an itu dibangunkan hasil perkongsian wang yang dibuat ala koperasi oleh penduduk kampong. Selepas itu, nat tersebut berterusan hingga sekarang tanpa pengurusan yang baik daripada ahli.



Kawasan tapak nat Selasa yang telah ditambun dengan batu kasaran oleh peniaga yang menjaja di tapak berkenaan. Walau bagaimanapun kawasan tersebut dirasakan tidak sesuai kerana berada di laluan jalan yang sentiasa digunakan oleh orang ramai untuk ke sekolah, klinik, kedai dan sebagainya.






YB Ust Ghani telah diberi penerangan ringkas oleh Pengerusi Persatuan Penjaja Kecil Daerah Kubang Pasu tentang cadangan untuk menguruskan tapak MDKP untuk dijadikan nat Selasa, pasar tani dan pasar malam.
Cadangan tersebut akan membantu para peniaga agar dapat memasarkan barang-barang yang diusahakan sendiri sekaligus dapat meningkatkan lagi ekonomi masyarakat tempatan.

Wednesday, March 31, 2010

Ziarah kematian orang tionghua

YB Ust Hj Abd Ghani tidak akan melepaskan peluang untuk bertemu dengan kaum keluarga orang tionghua apabila diberitahu berlaku kematian.
Kelihatan YB sedang berbual dengan waris simati disamping menikmati kacang goreng dan air mineral yang biasanya dijadikan hidangan kepada kaum melayu yang turut menziarahi kaum tionghua yang meninggaldunia.
YB telah menziarahi dua kematian iaitu di Pekan Air Hitam dan Pekan Padang Sera. Kehadiran YB disambut dengan rasa gembira dan terharu kerana tidak pernah berlaku kepada wakil rakyat sebelum ini. Ini satu perubahan baik yang dibuat oleh YB PAS yang mana mereka menganggap tugas menziarahi orang yang meninggaldunia adalah satu tugas mulia tanpa mengira latarbelakang agama dan fahaman politik.


Tuesday, March 30, 2010

Sukaneka PASTI Kawasan Jerlun


Lajnah PASTI Dewan Pemuda PAS Kawasan Jerlun telah menganjurkan Sukaneka PASTI di padang Sek Keb Tunku Bendahara di Kodiang. Sukaneka tersebut merupakan acara tahunan PASTI di mana kali ini ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Dalam kesempatan tersebut, Lajnah PASTI telah menjemput YB Ust Hj Abd Ghani yang merupakan Exco Kerajaan Negeri dan Yang Dipertua PAS Kawasan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Dalam menjayakan sukaneka tersebut, YB Ust Hj Abd Ghani telah memberi sedikit sumbangan sebagai galakkan kepada Dewan Pemuda PAS Kawasan agar lebih pro aktif menjayakan program PASTI agar ia akan menambahkan lagi keyakinan orang ramai terhadap institusi PASTI.
Turut serta dalam majlis tersebut ialah Wan Yusuf selaku Pegawai Khas YB, Abdul Aziz Hatt selaku Ketua Pemuda, AJK Dewan Pemuda di samping Guru-guru PASTI.

Thursday, March 25, 2010

Majlis penyampaian sumbangan beras


YB Ust Abd Ghani bersama dengan Pengerusi MKK Lubuk Pinang, Hj Marzuki B Hj Udin telah menyampaikan sumbangan beras dan wang tunai kepada penduduk di kampong Lubuk Pinang. Usaha ini dilakukan oleh Pengerusi MKK sendiri melalui zakat padi pada musim ini.

YB Ust Abd Ghani berharap usaha murni yang dilakukan oleh Pengerusi MKK Lubuk Pinang akan dicontohi oleh MKK yang lalin. Ini adalah sebahagian daripada program mengeratkan tali silaturrahim antara MKK dengan penduduk kampong di bawah seliaannya. Sumbangan berupa barang-barang keperluan harian adalah satu perkara penting dan sentiasa dinantikan. Oleh kerana itulah, apabila lawatan YB Ust Abd Ghani ke kampong-kampong, pemberian hamper atau wang tunai tidak pernah diabaikan.
Apa yang penting, hubungan persaudaraan antara pemimpin dan rakyat bawahan hendaklah diutamakan pada setiap masa bukan ketika di masa berlakunya kempen pilihanraya.

Monday, March 22, 2010

Majlis Taakhi PRK Kota Siputeh


JPN Kedah telah menganjurkan Majlis Taakhi iaitu usaha menjalin hubungan dan kerjasama antara jentera pilihanraya PAS Kawasan-Kawasan seluruh Kedah dengan 17 UPU dalam DUN Kota Siputeh. Majlis tersebut berlangsung dengan harmoni dan meriah sekali. Kira-kira 300 orang telah hadir ke majlis tersebut yang diadakan di Markas UPU Kg Paya. Turut serta dalam majlis tersebut ialah YAB Menteri Besar Kedah selaku Pesuruhjaya PAS Negeri bersama dengan saf pimpinan BPPNK.
Dalam ucapannya. YAB Pesuruhjaya menekankan betapa pentingnya DUN Kota Siputeh dimenangi oleh PAS kerana dengan pertambahan satu DUN akan mengukuhkan lagi Kerajaan Negeri Kedah. Selain daripada itu, usaha-usaha untuk membeli wakil rakyat PR sentiasa berjalan dan tidak pernah berhenti. Oleh itu, persiapan awal untuk menghadapi PRK Kota Siputeh hendaklah dimulakan daripada sekarang agar PRK yang bakal diadakan itu dapat dilalui dengan penuh persiapan .
Selepas selesai majlis perasmian, semua pimpinan PAS Kawasan akan diserahkan kepada UPU masing-masing dan beredar ke UPU tersebut untuk membentuk jawatankuasa bersama dan perancangan program secara berterusan sehingga berlaku pilihanraya.


Friday, March 12, 2010

Exco Kedah-Satu Amanah Besar

  1. 10 Mac 2010 lalu telah berlaku rombakan barisan Exco Kedah. Saya telah ditauliahkan sebagai Exco yang baru dihadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah. Sehari sebelum itu, saya dan ADUN Sidam, YB Tan Chow Kang telah dipanggil mengadap YAB MB dan disahkan untuk dilantik menjadi Exco yang baru. Kami telah diberi beberapa nasihat dan tugasan yang perlu dilakukan demi kemajuan dan kemakmuran hidup rakyat. Saya diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Penerangan dan Pembangunan Usahawan. Saya menerima amanah ini dengan tabah hati dan berharap mendapat petunjuk daripada Allah hendaknya.
  2. 11 Mac 2010, saya telah mula berpindah pejabat daripada Tingkat 4 Wisma Darul Aman iaitu Pejabat Timbalan Speaker DUN Kedah ke Tingkat 5 iaitu pejabat Exco. Saya telah diberi taklimat ringkas oleh PA iaitu Puan Adawiyah tentang tugasan yang perlu dilakukan di samping menerima jadual jemputan dan undangan.
  3. 12 Mac 2010, tugasan pertama sebagai Exco Penerangan ialah menyampaikan ucapan perasmian dalam Sesi taklimat Isu-isu Semasa Kerajaan Negeri Kedah di Dewan Tun Abdul Razak di Baling. Ini adalah satu perkara biasa kerana sebelum ini saya telah memberi ucapan yang sama di daerah Kubang Pasu menggantikan Exco Penerangan sebelum ini iaitu YB Dr Hj Hamdan B Mohd Khalib. Lagipun, ketika itu saya adalah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Penerangan Negeri kepada beliau dan YB Dato Ir Amiruddin B Hamzah.
  4. 13 Mac 2010 - 15 Mac 2010, saya memenuhi undangan kenduri di DUN Ayer Hitam. Nampaknya sambutan agak berbeza kerana kehadiran atas kapasiti sebagai Exco yang baru dilantik. Namun hanya 2 buah rumah sahaja yang sempat dihadiri manakala yang lain akan diteruskan oleh Pegawai Khas, Pak Wan Yusof. Tentunya rumah mereka yang tidak sempat saya hadiri membuatkan mereka kurang gembira.
  5. 16 Mac 2010, saya bertolak ke Kuala Lumpur untuk mesyuarat Exco.
  6. 17 Mac 2010, saya menghadiri mesyuarat Exco kali pertama. Saya boleh sesuaikan diri dalam mesyuarat tersebut kerana sebelum ini saya dan Speaker pernah dijemput hadir dalam mesyuarat Exco Khas membincangkan persiapan persidangan DUN Kedah. Saya juga telah mengambil peluang dengan mengemukakan pandangan.
  7. 18 Mac 2010, saya bertolak ke Terengganu untuk menyampaikan ceramah dalam DUN Manir. Sebelum itu, saya sempat menziarahi YB Dato Hj Haron Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga ADUN Manir yang telah diserang stroke.
  8. 20 Mac 2010, bersama-sama dengan YAB Pesuruhjaya PAS Kedah dan saf pimpinan PAS di seluruh kawasan dalam Majlis Taakhi Pilihanraya DUN Kota Siputeh. Ramai yang hadir memberi sokongan padu kepada JPN untuk mengerakkan jentera PRK Kota Siputeh.
  9. 21 Mac 2010, saya masuk ke Pejabat Exco untuk memulakan tugasan. Tugasan pertama ialah bertemu dengan Urusetia Penerangan bagi membincangkan rancangan program di samping meneliti permasalahan yang berbangkit untuk tindakan selanjutnya. Sebelah malamnya, saya meluangkan masa menziarahi kaum tionghua yang meninggaldunia di Kampong Lubuk Pinang. Sambutan di dikalangan mereka cukup menggalakkan. Lebih-lebih lagi ucapan tahniah daripada mereka setelah saya dilantik menjadi Exco.
  10. 22 Mac 2010, saya membuat temuduga dengan seorang calon untuk dilantik menjadi PA Pentadbiran yang akan bertanggungjawab di DUN Ayer Hitam dan menyelia tugasan saya di Pusat Khidmat. Selepas itu, saya diinterview oleh wartawan Warta Darul Aman tentang wawasan saya yang bertanggungjawab dalam Penerangan dan Pembangunan Usahawan.

Tuesday, November 24, 2009

SPR kena hormat Keputusan Mahkamah

Kelmarin, Mahkamah Tingi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan & Kuasa-Kuasa Khas) telah menolak permohonan SPR untuk menggantung perlaksanaan Perintah Mahkamah yang diperolehi oleh Speaker DUN Kedah, Dato Dr Abdul Isa B Ismail dan mengarahkan SPR mengadakan pilihanraya dalam tempoh 60 hari dari tarikh keputusan 16 November 2009 lalu. Dalam semakan kehakiman tersebut, Mahkamah tersebut telah menerima permohonan Speaker agar Mahkamah mengisytiharkan ADUN Kota Siputeh hilang kelayakannya sebagai wakil rakyat kerana gagal hadir ke persidangan DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker. Ini merupakan kes pertama dalam Sejarah Malaysia yang membabitkan wakil rakyat hilang kelayakan disebabkan tidak hadir mesyuarat bukan disebabkan letak jawatan atau kematian.


Isu ini menarik perhatian umum kerana isu yang hampir sama berlaku di Perak dalam bulan Februari 2009 lalu di mana SPR enggan mematuhi keputusan Speaker yang mengisytiharkan 3 orang wakil rakyat PR iaitu ADUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang telah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan pilihanraya kecil perlu diadakan. Perintah Mahkamah tersebut akan dijadikan 'precedent' dalam kes di Perak. Ini akan menggugat Kerajaan BN di Perak yang dibentuk dengan membelakangkan aspek perundangan dan Perlembagaan Perak. Ini sebenarnya yang diinginkan oleh SPR.


Apa yang dikesalkan ialah SPR cuba menangguk di air keroh apabila cuba mencabar keputusan Mahkamah sedangkan SPR adalah agensi pelaksana dan Mahkamah adalah institusi kehakiman yang mengeluarkan perintah. Tidak dinafikan bahawa hak merayu memang wujud dalam institusi perundangan negara tetapi SPR perlu nilai kewajarannya untuk merayu sedangkan semua pihak mula menuding jari kepada SPR seolah-olah SPR yang diambil tindakan oleh Speaker bukan Dato Abu Hasan B Sarif. Orang yang dihukum tak ambil peduli dan boleh terima keputusan Mahkamah sedangkan SPR yang diperintahkan untuk buat piliharaya kecil pula berdalih dengan menggunakan pelbagai alasan yang tak masuk akal untuk merayu hingga ke peringkat yang lebih tinggi sehingga mereka rasa puas hati. Inilah mentaliti SPR yang sebenarnya seolah-olah mereka adalah badan politik bukan badan bebas .


Sepatutnya SPR menghormati dan cuba menyelami maksud Seksyen 51 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah kerana Seksyen tersebut mewajibkan semua wakil rakyat hadir mesyuarat atau persidangan DUN kecuali bersebab dan dibenarkan oleh Speaker. Bukankah SPR menpunyai Penasihat Undang-Undangnya sendiri dan mereka tentu faham semangat dan roh Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah yang digubal oleh DUN dan diperkenankan oleh KDYMM Tuanku Sultan.Tindakan SPR memfailkan rayuan demi rayuan akan menggambarkan bahawa SPR sudah menjadi alat dan boneka pihak pemerintah yang ingin mempertahankan maruah dan imej mereka yang sudar tercalar bahkan semakin terus tercalar.

Sumbangan Lembu Korban Aidil Adha

Tahniah kepada Kerajaan Negeri Kedah yang berjaya menyerahkan 340 ekor lembu melalui sumbangan oleh anak-anak syarikat Kerajaan (GLC) kepada semua wakil rakyat dan jabatan kerajaan Persekutuan dan Negeri di Stadium Suka Menanti, Alor Setar kelmarin. Ini satu perkembangan yang baik dan membanggakan rakyat Negeri Kedah kerana satu bentuk keadilan yang cuba diterapkan dalam masyarakat tanpa mengira latarbelakang agama, bangsa dan ideologi politik.

Sememangnya inilah satu perubahan yang telah dibuat oleh Kerajaan agar rakyat sedar bahawa ada perbezaan antara Kerajaan BN dengan Kerajaan PR terutamanya dari sudut nilai murni dan kebajikan tanpa unsur pilih kasih dan bulu. Syabas kepada YAB Dato Seri Ust Azizan yang berjaya menonjolkan semangat KORBAN dan sentiasa perlu berkorban kepada CEO GLC di Kedah apabila syarkat mereka mendapat keuntungan dalam perniagaan masing-masing.

Selaku wakil rakyat dan wakil rakyat angkat DUN Kota Siputeh, ini satu anugerah yang tak ternilai harganya kerana dengan sumbangan ini dapatlah kami menggerakkan kesedaran rakyat betapa perlunya Kerajaan PR diperteguhkan dengan membuktikan bahawa inilah satu contoh kebajikan yang diberikan untuk faedah rakyat. Tambahan pula sekarang ini angin bertiup kencang bahawa Pilihanraya Kecil DUN Kota Siputeh akan diadakan dalam tempoh terdekat ini

Wednesday, September 23, 2009

Rumah Terbuka Aidil Fitri

Kini, kita telah melangkah 5 Syawal 1430H selepas kita selesai menunaikan ibadah Ramadhan Al-Mubarak sebulan yang lalu. Kita berdoa agar Allah menerima segala amalan mulia yang ditunaikan lebih-lebih lagi di 10 malam yang akhir di mana terdapatnya anugerah teragung iaitu Malam Lailatul Qadr yang ganjaran pahalanya menyamai 1000 bulan.

Dalam kesempatan ini, Saya dan seluruh AJK MTD/PKWR Ayer Hitam mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin kepada semua pengunjung blog ini khasnya para penduduk DUN Ayer Hitam samada di dalam atau di luar kawasan. Semoga ikatan ukhuwwah dan silaturrahim antara kita akan berpanjangan dan diberkati Allah hendakNya.

Bersempena dengan Hari Raya Aidil Fitri 2009 ini, saya dengan sukacitanya menjemput & mempersilakan YB/dato/datin/tuan/puan/sdr/sdri ke Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri seperti maklumat berikut :-

Peringkat PAS Kawasan Jerlun

Tarikh : 27 September 2009 (Ahad)
Tempat : Simpang 3, Kg Raja, Mukim Pering
Masa : 12.00 tgh - 3.00 petang

Peringkat DUN Ayer Hitam

Tarikh : 1 Oktober 2009 (Khamis)
Tempat : Hadapan Gerai MDKP, Pekan Ayer Hitam
Masa : 3.00 - 6.00 petang

Friday, July 10, 2009

Rumah sembelih babi bukan isu besar orang cina - Ust Ghani

Pada 09 Julai 2009 sekitar jam 5.30 petang, saya telah menziarahi Hj Saad di Kampong Tanjung Bedil yang terlibat dalam kemalangan jalanraya sejak 2 bulan yang lalu. Saya sedia maklum tentang kejadian yang menimpa ke atasnya tetapi agak lewat menziarahinya dengan pelbagai tugas dan program yang sentiasa mengekori. Ketika di pejabat sambil menyiapkan tugas, lantas saya terus menelefonnya untuk menziarahinya di rumahnya jam 5.30 petang. Saya mengenalinya sebelum menang dalam PRU 12 lagi ketika minum teh tarik di depan warung wak Indon dekat PKWR DUN Anak Bukit. Beliaulah antara orang yang mempertemukan saya dengan seorang usahawan cina bernama Mr Ng yang memiliki pasaraya di Pekan Sungai Korok. Mr Ng pernah datang bersama Hj Saad ketika saya nak berangkat ke mekah pada 25 November 2008 dan beliau bersama isterinya pernah datang ke rumah saya ketika saya balik daripada Mekah. Ternyata persahabatan saya dengan HJ Saad dan Mr semakin akrab.
Mr Ng merupakan seorang yang boleh dibuat rakan dan sahabat. Ini disebabkan beliau bersifat terbuka dan menghormati pandangan politik dan ajaran agama Islam tanpa rasa kekok. Tiada lagi orang yang sebangsa dengannya datang menziarahi saya untuk menunaikan haji di Mekah serta memberi 'angpau' pula meskipun itu bukan yang saya harapkan. Itulah amalan baik yang dipraktikkan oleh Mr Ng walaupun berbeza adat budaya antara kaum dan ajaran agama. Saya katakan sahabat kerana beliau bersedia membantu saya ke arah menyebarluaskan lagi perjuangan PAS berasaskan keadilan sejagat menerusi slogan PAS For All dengan mempelopori rancangan penubuhan Kelab Penyokong PAS (KPP) di Jerlun sebagai Timb. Pengerusi dan Mr Eng sebagai Pengerusi.
Berbalik kepada ziarah saya di rumah Hj Saad, Mr Ng turut serta bila mengetahui saya akan ke rumah Hj Saad. Kami berbual panjang tentang isu semasa ke arah memperkukuhkan Pakatan Rakyat di Kedah di samping merancang untuk mengatur pertemuan semula KPP. Turut dibincangkan ialah isu perobohan rumah sembelih babi di Kg Berjaya pada 1 Julai 2009 lalu oleh MBAS turut menarik perhatian Mr Ng dan menjadi isu utama akhbar di Kedah.
Mr Ng menyatakan kepada saya bahawa isu babi bukan isu baru. ia sudah lama dan pernah diambil tindakan oleh MBAS (dulunya MPKS) tetapi cuba ditangguhkan oleh Kerajaan BN demi kepentingan politik mereka apabila berhadapan dengan PRU. Apabila Kerajaan PR mentadbir Kedah, MBAS mengambil langkah yang sama tanpa campurtangan Kerajaan PR. Ini kerana perobohan rumah sembelih yang dibina secara haram sejak 1960 lagi berada di bawah bidangkuasa MBAS.
Beliau katakan pada saya :'BN tak ada peluang untuk nak rampas semula Kedah daripada PR kerana orang sekarang sudah celik politik, bukan macam dulu yang selalu ditipu. Lebih-lebih lagi orang cina yang telah faham tentang tipu helah BN dan boleh menerima style Kerajaan PR yang bersikap amanah, adil dan aman dalam mentadbir negeri.
Menyentuh tentang babi yang dibela di kawasan kediaman orang Melayu, beliau menyatakan bahawa babi tak sepatutnya dibela di kawasan pekan (bandar) kerana baunya yang busuk dan boleh mencemarkan alam sekitar. Baginya, isu babi bukan isu besar kepada orang cina kecuali hanya seorang dua sahaja yang ada kepentingan. Beliau cukup bersetuju cadangan Kerajaan PR memindahkannya di Semeling, Bedong kerana terletak di kawasan jauh daripada pekan.
Sekitar jam 6.45 petang kami tamatkan perbualan dan bercadang akan berjumpa lagi dalam program KPP selepas selesai PRK Manek Urai di Kelantan pada 14 Julai 2009 nanti.

Tuesday, June 16, 2009

Sistem perparitan diabaikan-Ust Hj Abd Ghani







YB Ust Hj Abd Ghani bersama Ketua Kampong Menerong, Hj Che Kar telah membuat lawatan ke Kg Menerong untuk meninjau keadaan parit yang menjadi sentiasa menjadi masalah kepada penduduk ketika berlaku banjir kilat atau hujan lebat. Masalah ini telah dipanjangkan kepada pihak berkuasa sebelum ini tetapi tiada sebarang tindakan diambil. Kelihatan sisa bahan buangan menjadi sampah yang tersekat di laluan air dan tidak boleh bergerak menuju ke sungai yang berdekatan akibat tiada parit.
Dalam tinjauan tersebut, YB Ust Hj Abd Ghani selaku ADUN Ayer Hitam akan berusaha menghubungi Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah untuk diambil tindakan yang wajar. Penduduk Kg Menerong meletakkan harapan yang tinggi agar pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah tersebut yang menjadi isu utama di kalangan mereka apabila berlaku hujan lebat atau banjir kilat.

Tuesday, May 26, 2009

Perginya tanpa pesan dan banyak menabur bakti : ADUN

Seperti biasa pada setiap minggu pada hari Ahad dan Selasa, saya akan berada di bilik saya bersebelahan dengan bilik Pegawai Khas, Hj Mohd Naaim yang telah kembali ke Rahmatullah pada 18 Mei 2009 lalu untuk menerima kunjungan tetamu dan ketua kampong yang ingin berurusan. Tetapi sejak kelmarin dulu (Ahad) dan hari ini (Selasa), saya memaksa diri untuk meninjau bilik pegawai khas saya yang terdapat segala fail-fail tentang surat menyurat berkaitan urusan dengan pelbagai jabatan, dokumen berkaitan ketua kampong/MKK, borang permohonan projek pembangunan dan lain-lain borang-borang yang telah disediakan olehnya.
Sepanjang hari tersebut, saya mengambil alih tugas yang ditinggalkannya, barulah saya sedar bahawa banyak tindakan yang telah diambil olehnya sebelum ini tanpa pengetahuan saya telah berjaya membantu meringankan tugas saya dan peranan ketua kampong. Banyak borang yang dibuat, penyusunan fail-fail mengikut kod dan jadual lawatan ke cawangan dan UPU ditampal untuk memudahkan rujukan dan tindakan susulan. Apa yang peliknya, beliau tidak pernah menceritakan apa yang dibuatnya itu kepada sesiapapun hatta saya selaku bosnya di PKWR.
Ternyata beliau seorang yang gigih dan tekun bekerja tanpa mengira masa. Ramai orang bercakap bahawa payah nak cari orang macam Hj Naaim ni. Pada saya sungguh sukar mencari pengganti seperti beliau yangt boleh dikatakan biliknya di PKWR seperti rumahnya. Jadi, biarlah saya menganalisa segala kerjabuat yang ditinggalkan tanpa perlu tergesa-gesa mencari pengganti yang belum teruji kelayakan dan kebolehannya.
Hari ini, saya telah memanggil anak keempatnya, Fatimatul Zahra agar menyerahkan segala dokumen-dokumen peribadi keluarganya untuk tindakan segera bagi mendapatkan bantuan khas pendidikan. Anak-anaknya seramai 8 orang, yang sulung akan menyambung pengajian di Kolej Komuniti di Jitra pada Julai 2009, yang kedua berada di Tahun 1 UKM Bangi jalam jurusan Usuluddin dan Falsafah, yang ketiga dalam Tingkatan Enam di Kolej Islam Sultan Alam Syah (KISAS) di Kelang dan yang keempat akan masuk Tingkatan Enam di SMKA Labu, Negeri Sembilan, yang kelima sedang menderita sakit kanser otak dan OKU serta sentiasa keluar masuk wad, yang keenam dan yang ketujuh masih belajar di Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam dan yang kelapan berusia 2 tahun 6 bulan. Isterinya, Jamilah Bt Mohamad tidak bekerja.
Hari ini juga, wakil peribadi saya, Pak Wan Yusuf berurusan dengan Tuan Penghulu Mukim Jerlun berusaha untuk membolehkan keluarganya mendapat bantuan rumah. Rumahnya sebelum ini telah rosak akibat banjir kilat pada Oktober 2007 lalu. Dalam tempoh tersebut, beliau dan keluarganya tinggal di Pondok Ayer Hitam. Sebelum ini, saya pernah mengarahkan beliau memberi maklumat tentang keadaan rumahnya yang rosak, status tanah dan merakam gambar bagi tujuan untuk mendapatkan bantuan rumah tetapi beliau tidak mempedulikannya. Bagi beliau, utamakan kepentingan orang lain dahulu dan beliau mengambil sikap 'tak apa' dalam segala hal.
Saya menyeru kepada pembaca blog ini yang berhajat menyalurkan zakat atau sedeqah kepada keluarganya boleh berbuat demikian dengan menghubungi saya secara telefon atau datang ke pejabat. Insyaallah niat baik kita semua untuk membantu keluarganya akan mendapat ganjaran yang selayaknya daripada Allah Azzawajalla.Amin.

Monday, May 18, 2009

Saya kehilangan Amilin yang gigih- Ust Ghani

Sekitar jam 5.45 pagi, saya telah menerima panggilan telefon daripada Wakil Peribadi, Pak Wan Yusuf yang memaklumkan bahawa Pegawai Khas saya, Hj Mohd Naim telah kembali ke rahmatullah pada jam 4 pagi di Hospital Jitra. Beliau memaklumkan bahawa Hj Naim meninggaldunia akibat sakit penat. Saya terpinga-pinga dan mengeloh kerana tiada beritapun yang sampai kepada saya sebelum beliau dibawa ke Hospital.


Kali terakhir saya bersama Hj Mohd Naim ialah pada pagi Jumaat (15 Mei 2009) ketika saya, Pak Wan dan Pak Ngah Harun mengambilnya di PKWR jam 5.30 pagi untuk Solat Subuh di Masjid Kg Sanglang. Selepas Solat Subuh, kami dijemput ke kedai arwah bang Li oleh anaknya yang sangat berhajat agar saya membuat tahlil untuk roh bapanya. Selepas selesai menikmati sarapan pagi, kami bertolak ke PKWR.


Tiba di PKWR, beliau meminta izin saya untuk pulang kerana mendapat panggilan telefon daripada isterinya, Kak Milah bahawa anak-anaknya demam. Saya benarkan dan nasihatkan agar utamakan keluarga dan rumahtangga manakala program yang beliau susun pada hari itu akan saya uruskan dengan Pak Wan.


Saya dan Pak Wan pergi ke rumah Hj Abu Seman, Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu untuk meninjau keadaan sebuah rumah yang digenangi air akibat hujan lebat petang sebelumnya. Selepas itu, kami menuju ke Lana Bulu menziarahi kematian ibu kepada Hj Hashim, bekas Bilal Masjid Lana Bulu. Selanjutnya kami menziarahi pula menantu Tok Chin Wak di Kubang Sepat yang meninggaldunia akibat serangan jantung. Selepas itu, kami menuju ke nat Kuala Jerlun bersama Ketua Kampong Tandop Kedabu, Pak Hassan dan Ketua Kampong Kuala Jerlun, Fadzil.


Kira-kira sejam di sana, saya dan Pak Wan bertolak pulang dan saya tunaikan Solat Jumaat di Masjid Kubang Rotan. Sekitar jam 3.45 ptg, saya ke jeti Kuala Kedah untuk ke Langkawi kerana memenuhi dua urusan penting iaitu usrah BPPNK selepas Maghrib dan mesyuarat BPPNK keesokkannya.


Keesokannya, hari Ahad, saya bertolak ke PKWR kira-kira jam 10.00 pagi. Apabila tiba di pejabat, saya mendapati pintu pejabat masih berkunci. Saya terus menelefonnya dan beliau hanya memaklumkan tidak sihat @ penat. Apabila saya tanya tentang keadaan anak-anaknya, beliau hanya menyebut anaknya masih di wad 5A Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Beliau langsung tidak menceritakan halnya dan keluarganya kepada saya tentang apa yang berlaku sepanjang saya berada di Langkawi. Kemudian saya menghubungi Pak Wan dimana dia akan ke rumah Hj Naim untuk mengambil kunci.


Apabila Pak Wan tiba di PKWR, beliau telah menceritakan kepada saya tentang isterinya dan anak-anaknya yang sakit dan berada di wad di Hospital. Saya bercadang akan menziarahi anak-anaknya pada jam 5.00 petang. Di PKWR, saya sempat meneliti beberapa tugasan dan mula didatangi oleh beberapa sahabat seperti Zulkifli Md Isa, Ust Azhari, Hj Marzuki dan Hj Abu Seman. Kami berbual panjang tentang isu semasa, isu muktamar PAS Pusat dan sebagainya.


Tanpa disedari masa sudah berlanjutan hingga 6.30 petang. Saya bergegas menunaikan Solat Asar dan bergerak pulang. Dalam perjalanan pulang, saya menerima SMS daripada bapa saudara, Onn yang ingin berjumpa dengan saya. Saya tiba di rumah selepas Solat Maghrib di Surau Taman Sayang. Saya mengeluh dan menyesal kerana tidak sempat menziarahi Hj Naim dan anak-anaknya di Hospital. Saya bercadang akan menziarahi mereka pada hari ini selepas selesai 2 mesyuarat di Menara BDB dan di Wisma Darul Aman.


Cadangan hanya tinggal kenangan apabila saya mendapat berita tentang kematiannya pada pagi tadi. Sekitar jam 7.50 pagi, saya sudah sampai di rumah ibu bapanya dan sebak melihat jenazahnya terbujur kaku di hadapan isteri dan anak-anak. Saya cukup sedih dan bersimpati dengan apa yang berlaku. Saya telah menyerahkan wang melalui Ust Ridhuan untuk diserahkan kepada Kak Milah kerana saya tidak tahan dengan suasana sedih tersebut.
Ramai kalangan sahabat handai beliau yang datang menziarahi dan solat jenazahnya di Surau Pondok Ayer Hitam. Ust Mohd Rejab, Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Jerlun telah mengimamkan solat jenazahnya dan saya berada di belakangnya dan berdoa untuknya.
Saya pasrah dengan apa yang berlaku dan saya meredhai segala ketentuan Ilahi.llah telah menjemputnya dalam keadaan kami begitu rancak menyusun program PKWR, bertemu rakyat, berdialog dengan UPU,memantau peranan Ketua Kampong dan berbagai-bagai lagi.

Saya kehilangan seorang Pegawai Khas yang setia, berdedikasi dan sabar dalam kehidupannya.
Saya mendoakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan semoga beliau ditempatkan di Syurga bersama-sama para Anbiya, Syuhada dan Solihin, Amin.

Thursday, May 14, 2009

Kaum Cina tidak dilupakan- -ADUN

Perjumpaan & Dialog













Kuala Sanglang-13 Mei 2009

Pada jam 8.00 malam, dalam kesibukan tugas harian, YB Ust Hj Abd Ghani sempat meluangkan masa menziarahi kematian kaum cina di Kampung Kuala Sanglang dan menyampaikan sumbangan kepada anak mendiang. Turut hadir bersama YB ialah Pegawai Khas, Setiausaha Penerangan PAS Kawasan Hj. Ghazali Md. Isa, Ketua Kampung Kg. Sanglang, En. Mat Jam dan Ketua Kampung Tok Mengkula En. Mahayudin.

Pada jam 9.30 malam, YB juga menghadiri perjumpaan dan dialog bersama Ahli Jawatankuasa UPU Kubang Sepat,ahli-ahli PAS cawangan sekitar UPU tersebut dan Ketua Kampong. Dalam dialog tersebut, YB Ust Ghani menjawab segala persoalan berkaitan pembangunan dan fungsi Ketua Kampong dalam memajukan sebarang permohonan projek seharusnya melalui Tuan Penghulu Mukim untuk dipanjangkan kepada Tuan Pegawai Daerah.

Tuesday, May 12, 2009

Fungsi Masjid perlu diimarahkan-Timbalan Speaker






TELAGA BATU, 9 Mei 2009-Timbalan Speaker DUN Kedah mengingatkan kepada semua Imam dan AJK Masjid agar berperanan lebih gigih lagi ke arah mengimarahkan fungsi masjid dalam kariah masing-masing. Masjid bukan setakat berfungsi ketika solat berjamaah atau solat Jumaat sahaja sebaliknya pengisian program seperti kuliah ilmu, kelas pengajian kitab oleh guru-guru agama yang berkelayakan, kem motivasi dan sebagainya haruslah diprogramkan secara berkala pada setiap minggu dengan penglibatan anak-anak kariah.
"Sebagai contoh, Rasulallah SAW telah membina Masjid Quba yang bukan sahaja sebagai masjid semata-mata tetapi berfungsi sebagai tempat penyatuan ukhuwwah Islamiyyah antara Aus dan Khazraj ketika baginda tiba di Yathrib (sekarang dikenali al-Madinah al-Munawwarah), menyusun strategi peperangan, membincangkan sistem pentadbiran kerajaan Islam selain menyuburkan pengajian ilmu-ilmu Islam di kalangan umat Islam ketika itu" katanya.
Beliau yang juga ADUN Ayer Hitam berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan dengan Imam-Imam dan AJK Masjid seluruh kawasan Jerlun di Pondok Ust Hj Md Rejab B Mat Akhir di sini.
Selepas majlis tersebut, YB ADUN Ayer Hitam dibawa melawat oleh Ust Hj Md Rejab selaku pengasas pondok tersebut melihat pondok-pondok yang wujud sekitar 80 buah oleh orang-orang yang kebanyakkannya datang daripada luar.

Sehari bersama rakyat-Ust Ghani
















10.00 pagi - Kg Pida 5 Matang Gelok

Saya bersama dua orang pegawai khas, Wan Yusuf B Wan Jusoh dan Hj Mohd Naim B Hj Musa telah menziarahi jenazah Hj Othman (Tok Man Jin) yang telah meninggaldunia akibat sakit kencing manis sejak beberapa bulan lalu. Saya difahamkan bahawa keadaan sakitnya semakin kritikal dan dinasihatkan kepada warisnya agar membawa pulang. Saya mendoakan Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, Amin.
11.00 pagi - Kg Kuala Sanglang
Saya dimaklumkan oleh wakil peribadi bahawa terdapat satu lagi kematian di Kg Kuala Sanglang iaitu Encik Osman yang merupakan penggerak PAS cawangan. Kematiannya akibat sakit stroke dan terlantar sakit di rumah sejak beberapa bulan lalu. Saya sempat bertemu AJK PAS cawangan yang memaklumkan tentang punca kematiannya. Saya sempat solat jenazah dan diimamkan oleh Ust Nasir B Abd Ghani iaitu AJK DPP Kawasan Jerlun.
11.30 pagi - Kampong Sanglang
Dalam perjalanan ke sana, saya sempat bercakap dengan Penghulu Mukim Sanglang, Encik Mohd Amin B Yahya untuk berbincang hal-hal kemajuan kampong. Saya telah mempelawanya untuk minum pagi di salah satu warong di Pekan Sanglang. Turut serta Ketua Kampong, Encik Mat Jam B Man bersama hardcore PAS cawangan iaitu abang Ramli dan Che A. Kami banyak berbual isu politik semasa berkaitan kemenangan YAB Dato Seri Ir Mohd Nizar dalam kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin dan perancangan untuk mengadakan perjumpaan dengan semua Penghulu dalam Kawasan Jerlun.
Selepas minum bertolak balik dan singgah sekejap di Pasar Kerpan berbual dan bertanya khabar peniaga-peniaga disana.
12.30 tgh - bertugas di PKWR
Apabila pulang ke PKWR, terdapat Ketua Kampong yang mengunjungi saya dan memaklumkan telah menghantar senarai nama bancian bantuan rumah golongan miskin di kampongnya. Selepas itu, saya meminda dan menyemak senarai rancangan kecil peruntukkan YB bagi tahun 2009 untuk dihantar ke pejabat UPEN. Dalam meneliti rancangan tersebut, tindakan saya terhenti sementara kerana melayani kunjungan teman lama dalam saf pimpinan DPP PAS Jerlun. Dalam perbualan lebih kurang 45 minit, saya meminta diri untuk mengambil anak-anak di SRIDA mulai jam 4.30 petang.

Ziarah,Lawatan dan sumbangan kepada mangsa kebakaran















07 Mei 2009 (Khamis)

10.00 pagi

YB Ust Hj Abd Ghani, Timbalan Speaker DUN Kedah bersama Wakil Peribadi dan Pegawai Khas menziarahi Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Jerlun yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya di Pekan Kodiang.

10.30 pagi

Selepas itu beliau melapangkan masa menziarahi Ketua Kampung Tok Arang, Pering, Encik Mat Arof Baharom yang sedang berehat di rumahnya. Kami berbual tentang isu politik semasa di samping mengambil maklum tentang tugasan sebagai ketua kampong dengan masyarakat.

11.00 pagi

Kemudian beliau bersama Setiausaha Dewan Muslimat PAS Kawasan Jerlun, Cik Aishah Bt Don dan dua orang AJK Dewan Muslimat PAS Kawasan Jerlun, Puan Jamilah Bt Mohamad dan Puan Siti Hajar Bt Ismail menziarah AJK Dewan Muslimat PAS Kawasan Jerlun, Puan Habsah Bt Awang yang menghidapi penyakit chingukunya dan keadaanya dilaporkan stabil selepas mengambil ubat di klinik.

11.30 pagi

Beliau juga mengambil peluang dengan menziarah Encik Jasni B Ahmad, Ketua Kampung Pering yang demam sejak 2 hari lalu. Beliau juga berkesempatan melawat kebun anggur yang diusahakan di belakang rumahnya. Beliau turut memuji kegigihan Encik Jasni yang minat dengan bidang pertanian dan mempelbagaikan produk pertanian seperti membeli getah skrab, memelihara ayam, burung dan bercadang pula untuk menanam jagung kerana pasarannya semakin berkembang. Tambahan pula Kerajaan Negeri telah menggazetkan Kedah Utara sebagai pusat penanaman jagung untuk dieksport ke luar negara.

12.30 tengahari

YB Ust Hj Abd Ghani menemui Ketua Kampong Telaga Batu, Hj Othman yang mudah dikenali dengan panggilan Pak Long Man bergerak menuju ke Kampung Changkat Tok Raman untuk menziarahi rumah Encik Zulkifli B Hashim iaitu mangsa kebakaran. Dalam pertemuan ringkas, YB Ust Hj Abd Ghani telah menyampaikan sumbangan barang-barang keperluan dapor kepada mangsa kebakaran tersebut.

Thursday, May 7, 2009

Golongan dhaif tidak dilupakan - Ust Ghani




Kuala Jerlun-05 Mei 2009

Wakil peribadi dan Pegawai Khas ADUN Ayer Hitam bersama Ketua Kampung Tandop Kedabu telah mewakili YB Ustaz Hj Abd Ghani B Hj Ahmad menyampaikan sumbangan beras dan barang-barang keperluan dapur kepada fakir miskin di sekitar Kuala Jerlun. Sumbangan seperti ini akan didakan ke seluruh kampong dengan kerjasama ketua kampong/MKK.

Wednesday, May 6, 2009


Saya bertuah bertugas dengan tiga Menteri Besar - Syed Unan Mashri

Oleh: WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR, 4 Mei: “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri yang telah memberi peluang dan kepercayaan kepada saya untuk menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.”

Itulah antara kata-kata Setiausaha Kerajaan Negeri, YB. Dato’ Bijaya Indera Dato’ Paduka Haji Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahabudin ketika menyampaikan ucapan pada majlis perhimpunan bulanan bersama kakitangan Wisma Darul Aman di Pekarangan Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, peluang dan kepercayaan yang diberikan itu, secara tidak langsung memudahkannya menjalankan tugas dengan lebih mudah dan sekiranya timbul sebarang masalah, dia akan berjumpa dengan Menteri Besar untuk menyelesaikan masalah itu.

“Semenjak saya memegang jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, banyak program dan acara dijalankan di peringkat negeri dan saya merasa bertuah kepada dapat bertugas dengan tiga Menteri Besar dalam tempoh empat tahun setengah,” jelasnya.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada ketua jabatan, pegawai kerajaan dan kakitangan Wisma Darul Aman kerana memberi sepenuh kerjasama kepadanya dalam menjalankan perkhidmatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kita juga merasa bertuah kerana dapat menganjurkan Perayaan Jubli Emas Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah Ke-81 baru-baru ini dan turut mempunyai sebuah bangunan yang baru untuk kakitangan Wisma Darul Aman bertugas di sini,” ujarnya.

Sebagai kakitangan kerajaan, katanya, kita adalah nadi dari segi pentadbiran dan menjadi tempat untuk menyalurkan keputusan-keputusan kerajaan di mana kita patut merasa bertuah kerana dapat bertugas di Wisma Darul Aman.

Dalam hal ini, tambahnya, setiap daripada kakitangan kerajaan perlulah meningkatkan lagi keupayaan mereka ke tahap yang lebih tinggi serta mampu melaksanakan tugas yang diberikan itu dengan lebih baik lagi.

Mesyuarat Agung PAS Kawasan Jerlun Ke-48 2009
















PAS Kawasan Jerlun telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-48 pada 1 Mei 2009 (Jumaat) lalu. Ia telah dirasmikan oleh YAB Dato Seri Ustaz Hj Azizan B Abdul Razak, Pesuruhjaya PAS Kedah dan juga Menteri Besar Kedah Darul Aman.

Majlis perasmian tersebut dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh Ustaz Tantawi, mahasiswa daripada KUIN (Insaniah). Selepas itu ucapan aluan oleh Hj Azhar B Ibrahim selaku Setiausaha PAS Kawasan dan juga Pengarah Panitia Mesyuarat Agung. Selepas itu ucapan Yang DiPertua PAS Kawasan Jerlun, YB Ust Hj Abd Ghani B Hj Ahmad yang juga Timbalan Speaker DUN Kedah dan ADUN Ayer Hitam. Ketika berucap, beliau telah memfokuskan dua perkara utama untuk diambil perhatian oleh perwakilan iaitu peranan pimpinan PAS dalam institusi kerajaan dan kaedah menyemarakkan sokongan kepada PAS dalam PRU 13 akan datang.
Setelah PR memerintah negeri Kedah, terdapat pimpinan PAS yang dipilih menduduki jawatan di institusi kerajaan seperti Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu, Ketua Kampong/MKK yang berganding bahu dengan Penghulu selain daripada Imam dan AJK Masjid. Oleh itu dengan kuasa yang ada mereka diharapkan mampu membawa idealisma perjuangan PAS ke arah menyediakan perkhidmatan yang selesa dan memudahkan urusan pentadbiran antara kerajaan dan rakyat.
Perkara kedua yang difokuskan ialah perlunya agenda bertindak yang tersusun dengan program-program di bawah lajnah-lajnah antaranya Kelab Penyokong PAS yang mana beberapa pertemuan dengan kaum Cina dan Siam berjaya di adakan. Semua ini merupakan langkah awal ke arah menyemarakkan sokongan terhadap PAS di kalangan bukan Islam untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 nanti.
Selain daripada itu, peranan ulamak yang menjadi tonggak kepada PAS wajar berperanan dengan lebih hebat lagi bagi mendekati golongan agama di kampong, al-malak yang dihormati dan imam-imam dan AJK Masjid seluruh kampong agar mereka tidak ketinggalan dalam menyokong perjuangan Islam.
Selanjutnya, ucapan YAB Dato Seri Menteri Besar pula menegaskan bahawa perjuangan Islam yang dipimpin oleh PAS telah mendapat sokongan padu daripada masyarakat berbilang kaum khususnya di negeri Kedah sehingga membolehkan PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR) membentuk kerajaan pada 8 Mac 2008 lalu.
Beliau juga menekankan betapa pentingnya tarbiyyah di kalangan pimpinan dan ahli PAS perlu ditekankan kerana generasi pimpinan sekarang merupakan generasi yang mendapat tarbiyyah perjuangan PAS di era tahun 60-an dan 70-an. Oleh itu, golongan muda perlu disuntik dengan semangat juang dan tarbiyyah yang tinggi.
Menyentuh tentang pertandingan jawatan dalam parti khasnya jawatan Yang DiPertua PAS, YAB Menteri Besar mengingatkan bahawa pemimpin yang baik dan mampu membawa PAS ke arah yang lebih maju ke hadapan haruslah diutamakan walaupun amalan demokrasi dalam PAS mengizinkan pemimpin bertukar ganti. Apa yang penting janganlah ditendang bila tidak suka dan diangkat pemimpin bila suka.
Perjalanan Mesyuarat Agung Tahunan bermula selepas Maghrib hingga jam 1.00 pagi. Agenda mesyuarat berjalan lancar di mana perwakilan mempersoalkan segala perkara yang berkaitan dengan aktiviti lajnah di samping mengemukakan beberapa cadangan ke arah penambahbaikan aktiviti lajnah terutamanya penekanan lajnah tarbiyyah dari sudut menggandakan usrah dan kuliah ilmu ke cawangan-cawangan.
Sementara perjalanan mesyuarat berlangsung, SPR telah diberi ruang untuk mengumumkan nama-nama calon yang menang khasnya bagi calon Yang Dipertua di mana berlaku pertandingan dua penjuru antara YB Ust Hj Abd Ghani B Hj Ahmad dan timbalannya, Hj Ismail B Wan Teh. Kemenangan jawatan Yang DiPertua telah memihak kepada YB Ust Hj Abd Ghani dan Hj Ismail B Wan Teh dicalonkan semula dengan jawatan lamanya iaitu Timbalan Yang DiPertua. Naib Yang DiPertua pula disandang oleh muka baru iaitu Cikgu Hj A Wahab Bin A Rahman dengan menang tanpa bertanding. Seramai 16 orang AJk yang dipilih yang kebanyakkannya AJK sesi lalu.