WELCOME TO MY BLOG

Thursday, October 7, 2010

Sidang Akhbar Penjelasan Isu Hutang Air Negeri Kedah

Ditulis oleh Azman Ahmad 


Sidang akhbar isu kenaikkan tarif air oleh YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pada 5hb September.
Rakaman tersebut boleh di ikuti di laman Web TV AMAN TV

Eksklusif!!! MB BONGKAR KELEMAHAN & SALAH LAKU KERAJAAN LALU BERHUBUNG ISU AIR

Ditulis oleh AMELIA HASHIM 


“Oleh kerana Kerajaan dahulu tidak pernah bayar hutang ini maka hutang itu bertapok-tapok. Itu adalah hakikat.

“Bukan saya memutar belitkan fakta saya mendapat figure ini daripada Pegawai Kewangan Negeri yang dibentangkan dalam mesyuarat exco. Jadi saya rasa pihak berkenaan  tak faham kenapa hutang air banyak,” kata Menteri Besar Kedah YAB Ustaz Azizan Abdul Razak kepada media, di sini, hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan  mempunyai  polisi yang sama iaitu membantu rakyat, termasuklah  pembangunan Kerajaan Negeri dalam   membaik pulih serta meningkatkan perkhidmatan bekalan air untuk rakyat.
Untuk tujuan itu, katanya, seawal tahun 1980-an  Kerajaan Pusat menawarkan geran kepada Kerajaan Negeri, yang membolehkan projek bekalan air dibuat dengan sempurna tanpa bayar balik.
Ujarnya, sistem ini dikenali sebagai ‘Geran’ dan dengan geran ini seluruh negeri dapat mengatasi masalah bekalan air.

“Tapi masa itu pemimpin kerajaan negeri Kedah terlampau ‘baik’, saya tak tahu siapa Menteri Besarnya, dia terlampau baik dan tidak mahu menerima geran sebaliknya hendak berhutang, nak pinjam. Maknanya dia pi ambil duit dari Kerajaan Pusat dia kena bayar balik. Geran tak payah bayar balik di bawah skim Perkhidmatan Sosial.

“Itulah (sebabnya) maka Kerajaan Pusat bagi pinjaman kepada Kerajaan Negeri bukan geran, hutang kena bayar balik. Tapi dia tak bayar hutang (pun). Maka bertimbun-timbunlah hutang,’ katanya kepada media bagi menjelaskan  dakwaan Ketua Pembangkang YB Dato’ Mahdzir Khalid yang tersiar dalam sebuah akhbar tempatan.

Menurutnya, pembiayaan pembangunan air berdasarkan geran, terikat dengan syarat iaitu penentuan siapa yang menjadi kontraktor adalah oleh Kementerian Kewangan.
Sebaliknya jika berhutang, Kerajaan Negeri ada pilihan sendiri untuk memberikan kepada orang-orang tertentu.

“Saya nak berterus terang di sini saya mendapat tahu apabila mengkaji laporan yang dibagi kepada saya oleh pihak officio. Kata pegawai itu pemimpin waktu itu tak mahu geran walaupun Kerajaan Pusat menawarkan, mereka memilih untuk berhutang, maknanya hak Kerajaan Negeri mengagihkan kepada siapa yang dia suka bagi  membangun semua projek sama ada loji air atau pemasangan paip. Itu punya keistimewaan jadi yang itu dia Berjaya,” katanya.

Bagi menguatkan kebenaran ini, katanya, pihaknya mempunyai rekod mengenai orang-orang yang terlibat di belakang semua syarikat-sayrikat air ini iaitu pihak yang diberi hak kontrak berkenaan dan mereka adalah pemimpin Barisan Nasional dahulu.

Berikutan itu, katanya, sehingga hari ini pinjaman yang mereka buat kepada Kerajaan Pusat tidak pernah dibayar sepanjang-panjang mereka mentadbir negeri Kedah dan pemimpin sekarang sedang berusaha untuk melunaskan hutang-hutang berkenaan.

Beliau yang lebih suka berdiam tetapi terpaksa memberi kenyaan akhbar kerana pihak pemimpin dahulu  mendakwanya memutar belit kenyataan.

Katanya, Syarikat bekalan Air Darul Aman (SADA) adalah pengkorporatan bukan pengswastaan. Kerajaan dahulu yang mengswastakan bekalan air kepada Taliworks Sdn Bhd. Pada tahun 2009 misalnya, kerajaan sekarang terpaksa membayar sebanyak RM 39 juta sedangkan kutipan yang kerajaan negeri dapat hanya RM14 juta. Ini bermakna jumlah kerugian yang kerajaan terpaksa tanggung sebanyak RM25 juta. Ini akan berlarutan sehingga perjanjian tamat pada 2020.

“Sebelum ini bekalan air di kebanyakan negeri dibawah Jabatan Bekalan Air  atau Jabatan Kerja Raya dan tahun 1990-an mereka swastakan dan kita tahu kepada siapa mereka swastakan,” katanya.
Beliau kesal dengan dakwaan itu, sedangkan bagi pihak kerajaan sekarang beliau berkerja keras mencari jalan untuk menyelesaikan kehidupan  rakyat dan bebanan membayar hutang yang dibuat oleh pemerintah dahulu.

Justeru itu, kenaikkan tarif air sepatutnya tidak timbul sebagai isu. Ini kerana semakan semula tarif air adalah dari Kerajaan Pusat yang mahu menyeragamkan berikutan kos pengurusan dan penggunaan semakin meningkat.

Beliau mendedahkan lagi persoalan yang timbul dalam pembinaan loji di Padang Sanai oleh kerajaan lalu dengan kapasiti 5 juta meter padu air sehari dengan harga RM155 juta yang diberi kepada syarikat yang ada hubungkait dengan mereka. Sedangkan harga munasabah bagi loji itu dengan kapasiti pengeluaran air yang sama paling harga antara RM50 juta hingga RM60 juta sahaja. Begitu juga dengan pembinaan loji di Lubuk Buntar yang pada asalnya untuk naik taraf tetapi diubah kepada loji baru dan meminjam sebanyak RM40 juta.

Katanya, perbezaan kos yang melambung ini menyebabkan hutang  menimbun dan pimpinan dahulu sepanjang-pangjang memerintah negeri Kedah tidak pernah membayar hutang-hutang berkenaan.
Justeru itu pada tahun 2006  satu akta dikeluarkan oleh kerajaan pusat dan diluluskan dalam parlimen  iaitu Akta Perkhidmatan Air Negara yang menjalankan  pengawalan ke atas sumber air  yang diperolehi dari Kerajaan Negeri dan  perkhidmatan oleh Kerajaan Pusat.

Ekoran dari itu bagi pengstrukturan semula pengambilalihan bekalan air ditubuhkan dua badan iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang mana SPAN berperanan mengawal selia air dan mengeluarkan lesen manakala  PAAB bertanggungjawab mengutip  hutang kerajaan negeri selama 40 tahun dan selepas itu diserah balik kepada Kerajaan Negeri.

 

RASIONAL TERHADAP KENAIKAN TARIF AIR DI KEDAH

 Ditulis oleh ZULKIFLI YAHAYA 

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Darulaman (SADA) Dato’ Adzmi Haji Din mengumumkan kenaikan tarif air di Kedah mulai 1 Oktober 2010. Secara puratanya kenaikan tarif air hanyalah RM0.10 bagi setiap meter padu air.

Kali terakhir tarif air di Kedah di semak ialah pada 1 Mac 1993. Mulai tarikh itu sehingga 30 September 2010, harga satu meter padu air ialah RM0.40. Ia adalah harga air yang kedua terendah di Malaysia selepas Pulau Pinang. Harga semeter padu air di Pulau Pinang hanya RM0.30, manakala perlis yang berada di tempat ke tiga terendah ialah RM0.48. Kedua-kedua negeri itu mendapat sumber air percuma dari sungai serta kawasan tadahannya yang berada di Kedah.

Sepanjang 17 tahun tarif air tidak pernah naik di Kedah, harga petrol naik berpuluh-puluh kali. Kenaikan harga petrol menyebabkan semua perkhidmatan yang berkaitan dengannya juga naik. Antaranya ialah tarif elektrik yang naik entah berapa kali sepanjang tempoh 17 tahun itu.

Maka jika kerajaan negeri, melalui SADA mengumumkan kenaikan tarif air mulai 1 Oktober 2010 maka ia adalah tindakan yang sangat munasabah.

Dalam isu kenaikan tarif air ini, kita boleh memberikan alasan munasabah yang melampaui batas keraguan.

Pertama: Semakan dan pelarasan tarif air ini adalah arahan dari Kerajaan Pusat setelah melihat kegagalan pengurusan air di hampir kesemua negeri di Malaysia akibat dari hasil air yang dikutip tidak seimbang dengan belanja pengurusan yang tinggi.

Semakan dan pelarasan yang diumumkan Kedah ini telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan mengikut Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air - Negeri Kedah) 2010.

Maknanya, Pusat sudah merestuinya. Pusat pasti merestuinya kerana ia memudahkan kerajaan negeri untuk membayar balik hutang pengurusan air kepada Pusat sebanyak RM50 juta setahun.

Kenaikan akan juga berlaku di negeri-negeri lain, termasuk negeri yang sealiran dengan Pusat. Cuma Kedah yang mula dahulu.
Kedua: Kenaikan ini tidak dapat dielak memandangkan kos pengeluaran dan pengurusan bekalan air meningkat yang meningkat. Contohnya,  kos berdasarkan  kuantiti bahan kimia yang dibeli untuk mengolah dan merawat air juga meningkat. Misalnya RM1,977,334.81 pada tahun 2003 kepada RM4,792,296.03 pada tahun 2009. Bahan kimia ini termasuklah Polyaluminium Chloride, Sodium Silicoflouride, Chlorine dan Hydrated Lime yang diguna untuk membersih air dalam tangki-tangki.

Antara yang naik juga ialah tarif elektrik. Lebih 50 peratus kos pengeluaran air ialah kos elektrik. Ia menjadikan kos yang terpaksa dibayar kepada TNB juga bertambah. Minsalnya hanya sebanyak RM11,575,058.47 pada tahun 2003 meningkat menjadi  RM26,091,689.06 pada tahun 2009. Kenaikan tarif elektrik mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kenaikan harga minyak. Air naik kerana elektrik naik, elektrik naik kerana minyak bahan bakar naik.

Ketiga: Perjanjian lama yang merugikan. Satu lagi faktor khusus yang mengakibatkan peningkatan kos ialah perjanjian pengurusan bekalan air dengan pihak swasta yang dibuat di zaman kerajaan terdahulu merugikan pihak kerajaan. Jabatan Bekalan Air Kedah (sekarang SADA) terpaksa membayar kepada syarikat Utara Indah Sdn. Bhd. Lebih RM327 juta bagi tempoh 2003 hingga 2009 dan Taliworks (Langkawi) Sdn. Bhd sebanyak RM206 juta sepanjang tempoh yang sama.

Pada tahun 2009 sahaja kerajaan terpaksa membayar kepada Taliworks RM39 juta sedangkan kutipan hasil air di Langkawi hanya sebanyak RM14 juta, bermakna kerajaan terpaksa ‘top up’ sebanyak RM25. Tiap-tiap tahun kerajaan terpaksa 'top up' pembayaran kepada Taliworks akibat caj yang dikenakan oleh syarikat swasta itu terlalu tinggi, tidak sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan dan tidak sepadan dengan kutipan hasil air. Jika kerajaan melalui JBA/SADA yang uruskan sendiri harga pengurusannya jauh lebih murah. Soalnya mengapa kerajaan dahulu mengswastakannya?

Begitu juga perjanjian dengan syarikat Utara Indah Sdn Bhd yang diberi tugas merawat air di loji Pelubang, Jitra. Bayaran dibuat berdasarkan kapasiti air yang dirawat bukannya kapasiti air yang sampai kepada pengguna. Hakikatnya kapasiti air yang sampai kepada pengguna hanya kira-kira 55 peratus. Bermakna kerajaan hanya ‘menderma’ kepada syarikat tersebut untuk kerja merawat baki 45 peratus air yang tidak sampai kepada pengguna.

Harga barangan atau perkhidmatan apa pun tidak pernah kekal sehingga melebihi 17 tahun. Begitu juga air.
Pada penggunaan biasa di rumah-rumah, kenaikan hanyalah antara  RM3 hingga RM7 setiap bulan. Tiada rakyat yang akan papa kedana hanya kerana menambah perbelanjaan RM3-RM7 setiap bulan. Yang penting rakyat akan merasakan perkhidmatan yang lebih baik selepas kenaikan ini.