WELCOME TO MY BLOG

Sunday, August 28, 2011

Memupuk keinsafan melalui amalan kebajikan

YB Ust Hj Abd Ghani telah dijemput memimpin bacaan doa tahlil kematian arwah Wan Ismail B Wan Jusuh iaitu abang kepada Pegawai Khasnya, Wan Yusuf. Arwah semasa hayatnya turut serta membawa beliau berkempen ketika mula menjadi calon PRU 10 (1999) menaiki Volvo 240. Azam arwah semasa itu ialah ingin melihat PAS menang dan memberi semangat kepada beliau untuk terus berkempen rumah ke rumah. Walaupun arwah tinggal di Gunung Semanggol, Perak tetapi  tetap pulang ke kampong untuk membantu beliau berkempen. Alhamdulillah, bekat usaha dan doa, hasratnya dimakbulkan Allah. YB Ust Hj Abd Ghani sempat membaca talkin di pusaranya selepas dimaklumkan kematiannya walaupun sebelum itu beliau mempunyai urusan lain pada masa kematiannya. Beliau juga sempat menziarahinya selepas arwah keluar Hospital Tuanku Fauziah, Kangar kerana mengidap sakit jantung.    


Sempena majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian sumbangan Aidil Fitri  kepada penduduk kampong sekitar Lana Bulu, Kerpan, Permatang Kenanga dan Permatang Mahang. Semua hamper berupa barangan keperluan Aidil Fitri disediakan oleh MKK masing-masing sebagai tanda ingatan dan kasih sayang sesama insan. YB Ust Hj Abd Ghani sedang menyampaikan hamper kepada Encik Haron B Awang Sudin, MKK Kg Lana Bulu.

Kelihatan salah seorang penerima sumbangan daripada Kg Lana Bulu menerima sumbangan daripada YB Ust Hj Abd Ghani. Beliau rasa gembira kerana ada MKK yang mengambil peduli dan bertanggungjawab ke atas nasib anak buah masing-masing. Ramai yang hadir begitu seronok dengan sikap MKK mereka yang prihatin dan berharap program seperti ini dapat dijayakan di masa akan datang. Sebelum majlis penyampaian sumbangan dimulakan, YB Ust Hj Abd Ghani menyampaikan tazkirah Ramadhan kepada semua yang hadir.  

Friday, August 26, 2011

Ketua kampong dan Setiausaha MKK terima elaun


Pejabat Daerah Kubang Pasu sudi menjemput YB Ust Hj Abd Ghani menyampaikan ucapan kepada semua Ketua Kampong dan Setiausaha MKK sebelum penyerahan elaun berlangsung pada 25 Ogos 2011 di Dewan Utama Pejabat Daerah. Beliau mengingatkan mereka bahawa Kerajaan Negeri begitu prihatin dengan kebajikan mereka yang telah lama berkhidmat dan inilah masa yang sesuai untuk mereka menikmati elaun sebelum menjelang hari raya.


Kelihatan YB Ust Hj Abd Ghani sedang menyampaikan wang tunai kepada setiap penghulu untuk diagihkan kepada mereka. Bagi ketua kampong , mereka menerima elaun mulai April - September berjumlah RM 1800.00 setiap orang manakala Setiausaha MKK menerima elaun mulai Januari - September juga berjumlah RM 1800.00. Sebanyak RM 648,000 telah diperuuntukkan oleh Kerajaan Negeri kepada Pejabat Daerah Kubang Pasu. Turut hadir Pegawai Daerah, Dato Hj Noh B Dahya, Pegawai Khas Exco Wan Yusuf B Wan Jusuh dan Pengarah PKD Kota Siputeh, Mohd Asri B Ghazali.   

Tuesday, August 23, 2011

Muslimat PAS Jerlun bakal mengeluarkan produk kuih raya


Pagi ini saya berkesempatan melihat aktiviti Muslimat PAS Kawasan Jerlun mengadakan demontrasi masakan membuat kuih raya kepada ahlinya. Salah seorang daripada AJK Muslimat, Puan Jamilah Binti Mohamad merupakan pembuat kuih tradisional dan kuih raya turut serta memberi bimbingan kepada peserta. Mereka begitu berminat menghadiri demontrasi tersebut.   
Saya difahamkan bahawa program ini sebagai program perintis di bawah Muslimat PAS Kawasan Jerlun. Jika ia dapat dijayakan dengan baik, tidak mustahil Muslimat akan menjadi pengeluar pelbagai jenis kuih yang akan diusahakan oleh mereka. Insyaallah pihak saya akan mempertimbangkan bantuan alat-alat masakan untuk membolehkan hasrat murni mereka tercapai sebagai galakkan untuk meningkatkan ekonomi Muslimat.   

Menziarahi kematian masyarakat tionghua

Selepas solat tarawikh malam tadi, saya dijemput oleh salah seorang ahli keluarga mendiang untuk menziarahi ibunya, Keow Eng Hua di Kg Tok Kepak. Mendiang meninggaldunia dalam usia 78 tahun meninggalkan seorang suami dan 6 orang anak. Kehadiran saya bersama rombongan PKWR Ayer Hitam dan PKD Kota Siputeh serta Ketua Komuniti, Lim Keow Eng yang lebih dikenali dengan nama Eng Dollah. Ini disebabkan beliau banyak bergaul dengan orang Melayu dan tinggal dalam kampong orang Melayu di Lana Bulu serta fasih bercakap Melayu. 

Kehadiran kami disambut dengan penuh kegirangan dan diraikan oleh pelbagai lapisan masyarakat tionghua yang datang dari pelbagai tempat untuk menziarahi mendiang. Saya secara berseloroh menyatakan kehadiran ini hanya dengan baju melayu kain pelikat kerana baru sahaja selesai Solat Tarawikh di Surau Kg Baru Tepi Laut dalam kawasan saya. Mereka tiada masalah kerana faham tentang amalan Solat Tarawikh dan berpuasa di bulan Ramadhan. Inilah hakikat kebenaran Islam apabila orang bukan Islam menghormati dan memahami adat budaya dan amalan agama Islam itu sendiri.    

MB mempengerusikan Mesyuarat Exco selepas keluar IJN

Hampir 3 minggu mesyuarat exco tidak diadakan yang biasanya pada hari Rabu. Ini disebabkan YAB MB menerima rawatan di IJN, Kuala Lumpur sejak 29 Julai 2011 lalu. Sepanjang berada di IJN, YAB MB sentiasa memantau perjalanan pentadbiran kerajaan negeri dan beliau berpuashati dengan peranan exco dalam portfolio masing-masing sepanjang ketiadaan beliau.

Walaupun YAB MB dalam tempoh bercuti sehingga 29 Ogos 2011 tetapi beliau masih bersemangat dan berjiwa kental untuk mengadakan mesyuarat exco kerana ingin menyelesaikan masalah rakyat. Alhamdulillah, banyak keputusan yang dicapai dan mengembirakan antaranya keputusan memberi bonus setengah bulan gaji kepada kakitangan kerajaan negeri dan pemberian elaun Pengerusi dan Setiausaha MKK sehingga September 2011 sebagai persediaan untuk menghadapi sambutan Hari Raya Aidil Fitri nanti. 

Monday, August 15, 2011

Kematian : Pengajaran kepada yang hidup


Apabila melihat liang lahad dikorek oleh penggali kubur maka nyatalah bahawa berlaku kematian. Gambar ini dirakam ketika saya mengiringi jenazah Hj Zakaria Bin Hj Ahmad ke perkuburan di Masjid An-Najah, Ayer Hitam. Beliau merupakan bapa saudara saya yang telah terlantar sakit buah pinggang di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sejak 10 Mei 2011 lalu. beliau kembali kerahmatullah ketika semua ahli keluarga sedang berbukia puasa di rumahnya. 

Sebaik sahaja jenazah beliau dikebumikan, ramai ahli keluarganya yang turut serta menimbus kembali tanah yang dikorek. Mereka tidak melepaskan peluang untuk berbakti di saat-saat akhir kepada arwah. Semasa hayatnya, beliau pernah menjadi Setiausaha Masjid Ar-Rahman, Kerpan dan menggerakkan aktiviti jamuan moreh apabila menjelang Ramadhan pada setiap tahun sejak 1997.     

Anak beliau yang bongsu, Fatimah Binti Hj Zakaria sedang menjirus air mawar di pusara. Beliau redha dengan pemergian ayah yang dikasihi dan rela menerima ketentuan taqdir Ilahi. Nun di sudut hati, ketabahan dan kesabaran menerima ujian Allah cukup sukar untuk direalisasikan walaupun mudah untuk diucap.    

Saya menekuni satu persatu ayat yang diungkap oleh pembaca talqin. Rupanya suatu pengajaran kepada yang hidup agar mengambil iktibar apa yang telah berlaku kepada arwah yang telah menyahut panggilan Ilahi di saat kita semua bergembira melaksanakan ibadah Ramadhan. Jika diamati, isi talqin memberi pengajaran yang berguna kepada yang hidup agar mengikut segala suruhan Allah jika mahu selamat di Akhirat.  

Sunday, August 14, 2011

Meninjau usahawan tani di Kg Pering, Kodiang

Inilah spesis buah anggur yang ditanam oleh usahawan muda di Kg. Pering, Kodiang. Asalnya buah anggur ini diambil benihnya di Perlis dan dicuba tanam oleh usahawan, Mohd Jasni Bin Ahmad. Berkat usahanya, kini buah anggur yang ditanam sudah boleh dimakan.  
Inilah kebun anggur yang ditanam di kawasan rumahnya. Nampaknya usaha untuk melihat pokok anggur tumbuh berjaya dibuktikan apabila beliau membuat persediaan yang lengkap dan mengikut kaedah penanaman yang betul seperti yang disyorkan usahawan di Perlis. Nampaknya Perlis tak boleh berbangga dengan tanaman anngur kerana anggur juga ada di Pering, Kubang Pasu dan Sik, Kedah.

Saya teruja dengan buah anggur yang ada di kampong. Tak perlu lagi pergi ke luar negara untuk memetiknya. Saya berbangga dengan usahawan ini dan akan mempromosikannya dengan sebaik mungkin. Tambahan pula kebun anggur ada dalam kawasan saya ini.   

Friday, August 12, 2011

Tazkirah Ramadhan & Penyampaian bantuan zakat

Menjadi kebiasaan pada setiap minggu Hari Jumaat mengatur jadual round masjid dalam DUN Ayer Hitam. Hari ini menunaikan Solat Jumaat di Masjid Padang Perahu. Tuan Imam, Ust Mohd Toha Abdul Rani memberi peluang untuk saya menyampaikan tazkirah Ramadhan kepada semua ahli jemaah yang setia menunggu kehadiran saya.  
Selepas tazkirah Ramadhan, saya dijemput untuk menyampaikan bantuan kepada 29 orang anak kariah yang berjaya dalam peperiksaan 2010 lalu. Seramai 4 orang berjaya mendapat UPSR 5A dengan saguhati RM 100.00 setiap orang, 2 orang mendapat 8A dalam PMR dengan saguhati RM 150.00 setiap orang dan seramai 6 orang mendapat 8A dalam SPM dengan saguhati RM 200.00 setiap orang. Wang tersebut diperuntukkan daripada Tabung Pendidikan Masjid tersebut. Turut serta Setiausaha Masjid, Cikgu Azhar B Ibrahim.
Turut menerima sumbangan ialah 29 orang anak-anak kariah yang terdiri di kalangan miskin dan dhaif menerima bantuan zakat. Sumbangan zakat diterima daripada Jabatan Zakat Negeri Kedah. Kali ini bantuan bertambah kepada RM 600.00 setiap orang berbanding tahun 2010 sebanyak RM 550.00 setiap orang.