WELCOME TO MY BLOG

Friday, July 2, 2010

Kerajaan Negeri -UUM rangka pelan basmi kemiskinan

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

SINTOK: Sinergi antara Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Kedah Sustainable Development Centre Universiti Utara Malaysia (KSC-UUM) dalam merangka Pelan Pembangunan Keusahawanan Negeri Kedah dilihat sangat strategik dan dinamik dalam usaha membasmi kemiskinan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, Abd Ghani Ahmad, projek usaha sama antara UPEN dan UUM melibatkan aktiviti keusahawanan yang memberi peluang pekerjaan, pembangunan kreativiti dan inovasi dan pembentukan daya saing yang mantap.

Beliau menjelaskan, UPEN memerlukan perancangan yang mantap ke arah memajukan ekonomi Negeri Kedah manakala UUM sebagai universiti pengurusan memiliki kepakaran dalam bidang tersebut.

“Gabungan kedua-duanya akan memberi impak positif terhadap kemajuan dan kelestarian pembangunan negeri yang melihat pembangunan usahawan sebagai agenda penting dalam membina komuniti berteraskan keusahawanan yang mapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada lawatan kerja ke KSC-UUM sejurus sebelum menghadiri pembentangan di EDC-UUM, di sini baru-baru ini.

Abd Ghani menambah, KSC-UUM membantu UPEN menyediakan Pelan Strategik Pelan Pembangunan Keusahawanan Negeri Kedah yang mengambil kira pelbagai aspek penting bagi menjamin kelestarian usahawan yang dibangunkan.

Ujarnya, program seumpama ini dapat menjana pembangunan lestari dan membantu merealisasikan hasrat kerajaan mencapai status negeri maju melalui KSC-UUM yang giat menjalankan penyelidikan, perundingan serta pembangunan.

“Pertemuan ini diharap akan mencetuskan hubungan kerjasama yang lebih erat dalam merealisasikan pelaksanaan program pembangunan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah KSC-UUM, Prof. Madya Dr. Rohana Yusof berkata, usaha itu dilaksanakan selaras dengan hasrat untuk membangunkan ekonomi dengan berkesan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan.

“Sekumpulan penyelidik UUM di bawah penyeliaan KSC-UUM terlibat dalam membangunkan penyelidikan untuk merancakkan ekonomi secara bersepadu,” katanya.

Dr. Filzah Md Isa mengetuai kumpulan penyelidik yang disertai Prof. Madya Dr. Faudziah Zainal Abidin, Dr. Siti Norezam Othman, Prof. Madya Habshah Bakar, Azhar Ahmad, Mohd Hanizan Zalazilah dan Kamarulzaman Md Ali.

Tambahnya, hasil kajian yang dijalankan bakal menyumbang kepada pembangunan bukan sahaja di Negeri Kedah malah negeri-negeri di dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) termasuk Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Selain itu, katanya, pertemuan itu juga diadakan untuk melihat perkembangan KSC-UUM dalam menjalankan projek selain menjalin hubungan baik antara UPEN dalam melaksanaan program pembangunan melalui penyelidikan dan perundingan.



Thursday, July 1, 2010

Negara Berkebajikan : Ruh Islam dihayati

Bila sebut negara Barat maka akan tergambarlah di kepala kita bahawa akan susah kehidupan kita bila berada di negara mereka. Namun, apabila kita menjejak kaki ke negara mereka akan terbuktilah bahawa apa yang digambarkan selama ini adalah palsu dan dangkal semata-mata.

Di Malaysia, kita banyak mengiktiraf bahawa ajaran Islam sentiasa diajar dalam kuliah-kuliah ilmu di Masjid dan Surau. Meskipun begitu, amalan yang sepatutnya dilaksanakan tetapi diabaikan kerana persekitaran di sekeliling turut mempengaruhi sikap tersebut.

Amalan Islam yang dianjurkan untuk diamalkan oleh orang Islam telah dilaksanakan oleh orang-orang putih di negara mereka misalnya kebersihan, kebajikan, pendidikan, solat jamaah dan sebagainya lagi. Sepanjang dua minggu berada di Leicester, UK. saya sempat meninjau situasi masyarakat di sini dengan mengunjungi pasaraya, menaiki bas, keretapi, teksi dan memandu kenderaan sendiri dan melihat sendiri situasi yang berlaku.

Dari sudut kebersihan, masyarakat dididik dengan amalan membuang sampah di dalam tong sampah yang disediakan. Bagi jenis sampah yang boleh digunapakai, dibuat recycle bin bagi jenis sampah seperti kertas, botol, kasut, pakaian dan lain-lain. Bagi jenis pakaian yang boleh digunapakai akan diserahkan kepada agensi kebajikan (charity) untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan atau dijual murah di Car Boot. Berbanding di Malaysia, sampah dibuang di merata jalan walaupun ada recycle bin yang disediakan tetapi jarang dimanfaatkan.

Dari aspek kebajikan pula, anak-anak kecil yang akan dibawa menaiki kenderaan sendiri atau bas/teksi diwajibkan memakai baby car seat (bayi) dan booster (anak-anak kecil)  demi keselamatan mereka. Jika gagal berbuat demikian, ibu bapa akan didenda. Di Malaysia, ia tidak diamalkan sebab itu kemalangan sering berlaku menyebabkan jiwa anak-anak kecil/bayi tergadai. Bagi kumpulan pendapatan rendah, mereka boleh memohon penggunaan internet percuma di rumah melalui Majlis perbandaran (city Councel) masing-masing. Golongan tua yang tidak berpendapatan atau pendapatan rendah diberi keistemewaan untuk pergi ke pusat bandar dengan mereka diambil di rumah mereka. Golongan kurang upaya diberi laluan khas di jalanraya untuk mengelakkan daripada kemalangan.
Bagi rawatan kesihatan pula, semua aspek rawatan adalah percuma kerana ini adalah tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan keperluan kebajikan kepada rakyat. Bagi pelajar-pelajar Malaysia yang sakit atau bersalin semuanya percuma walaupun mereka orang luar. Sepatutnya amalan seperti inilah yang dibuat di negara kita.                  
Di Malaysia, semuanya dengan bayaran tidak kira miskin atau kaya samada aspek kemudahan internet, rawatan kesihatan dan sebagainya. Pendek kata, tiada ruang kemudahan percuma yang diberikan kepada rakyat kita oleh kerajaan. Alangkah baiknya jika rakyat yang sedar akan hak mereka mesti diberikan oleh kerajaan mampu membuat perubahan demi masa depan anak bangsa yang penuh dengan perlindungan pemerintah ke atas rakyat jelata.