Bila sebut negara Barat maka akan tergambarlah di kepala kita bahawa akan susah kehidupan kita bila berada di negara mereka. Namun, apabila kita menjejak kaki ke negara mereka akan terbuktilah bahawa apa yang digambarkan selama ini adalah palsu dan dangkal semata-mata.
Di Malaysia, kita banyak mengiktiraf bahawa ajaran Islam sentiasa diajar dalam kuliah-kuliah ilmu di Masjid dan Surau. Meskipun begitu, amalan yang sepatutnya dilaksanakan tetapi diabaikan kerana persekitaran di sekeliling turut mempengaruhi sikap tersebut.
Amalan Islam yang dianjurkan untuk diamalkan oleh orang Islam telah dilaksanakan oleh orang-orang putih di negara mereka misalnya kebersihan, kebajikan, pendidikan, solat jamaah dan sebagainya lagi. Sepanjang dua minggu berada di Leicester, UK. saya sempat meninjau situasi masyarakat di sini dengan mengunjungi pasaraya, menaiki bas, keretapi, teksi dan memandu kenderaan sendiri dan melihat sendiri situasi yang berlaku.
Dari sudut kebersihan, masyarakat dididik dengan amalan membuang sampah di dalam tong sampah yang disediakan. Bagi jenis sampah yang boleh digunapakai, dibuat recycle bin bagi jenis sampah seperti kertas, botol, kasut, pakaian dan lain-lain. Bagi jenis pakaian yang boleh digunapakai akan diserahkan kepada agensi kebajikan (charity) untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan atau dijual murah di Car Boot. Berbanding di Malaysia, sampah dibuang di merata jalan walaupun ada recycle bin yang disediakan tetapi jarang dimanfaatkan.
Dari aspek kebajikan pula, anak-anak kecil yang akan dibawa menaiki kenderaan sendiri atau bas/teksi diwajibkan memakai baby car seat (bayi) dan booster (anak-anak kecil) demi keselamatan mereka. Jika gagal berbuat demikian, ibu bapa akan didenda. Di Malaysia, ia tidak diamalkan sebab itu kemalangan sering berlaku menyebabkan jiwa anak-anak kecil/bayi tergadai. Bagi kumpulan pendapatan rendah, mereka boleh memohon penggunaan internet percuma di rumah melalui Majlis perbandaran (city Councel) masing-masing. Golongan tua yang tidak berpendapatan atau pendapatan rendah diberi keistemewaan untuk pergi ke pusat bandar dengan mereka diambil di rumah mereka. Golongan kurang upaya diberi laluan khas di jalanraya untuk mengelakkan daripada kemalangan.
Bagi rawatan kesihatan pula, semua aspek rawatan adalah percuma kerana ini adalah tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan keperluan kebajikan kepada rakyat. Bagi pelajar-pelajar Malaysia yang sakit atau bersalin semuanya percuma walaupun mereka orang luar. Sepatutnya amalan seperti inilah yang dibuat di negara kita.
Di Malaysia, semuanya dengan bayaran tidak kira miskin atau kaya samada aspek kemudahan internet, rawatan kesihatan dan sebagainya. Pendek kata, tiada ruang kemudahan percuma yang diberikan kepada rakyat kita oleh kerajaan. Alangkah baiknya jika rakyat yang sedar akan hak mereka mesti diberikan oleh kerajaan mampu membuat perubahan demi masa depan anak bangsa yang penuh dengan perlindungan pemerintah ke atas rakyat jelata.
No comments:
Post a Comment