WELCOME TO MY BLOG

Tuesday, June 29, 2010

YINK sedia pinjaman untuk pelajar ke Mesir dan Jordan

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR



ALOR SETAR, 27 Jun: Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) menyediakan pinjaman pelajaran kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi terutama yang melanjutkan pengajian di Mesir dan Jordan.
Menurut Pengurus Besar YINK, Tuan Haji Rahman Ismail, pihaknya akan memberi pinjaman pelajaran sebanyak RM6,000 untuk setahun kepada seorang pelajar yang melanjutkan pengajian di Mesir.
“Kita juga turut memberikan pinjaman pelajaran sebanyak RM10,000 untuk setahun kepada seorang pelajar yang melanjutkan pengajian di Jordan,” katanya.
Beliau menjelaskan, sejak penubuhan YINK pada tahun 1976, seramai 60 pelajar yang melanjutkan pengajian di Mesir menerima pinjaman pelajaran pada tahun 2009 dan 2010 manakala seramai 40 pelajar yang melanjutkan pengajian di Jordan menerima pinjaman pelajaran pada tahun 2009 dan 2010.
“Pinjaman itu dibuka selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dikeluarkan dan iklan untuk pinjaman pelajaran itu akan dikeluarkan dalam media massa,” ujarnya.
Haji Rahman memberitahu, YINK juga turut menyediakan pinjaman pelajaran untuk Kursus Perubatan di Mesir selama enam tahun pengajian iaitu sebanyak RM40,000 setahun untuk seorang kepada lima pelajar.
Di samping itu, katanya, YINK turut menyediakan biasiswa kepada pelajar-pelajar Kuliah Tahfiz Al-Quran di Kolej Universiti Insaniah sebanyak RM2,400 seorang untuk setahun pengajian.
“Apabila tamat pengajian, pelajar perlu membayar balik pinjaman pelajaran kepada YINK,” jelasnya.
Tambahnya, pelajar boleh membayar balik pinjaman pelajaran melalui Bank Islam Malaysia Berhad iaitu melalui e-Banker.

No comments: