WELCOME TO MY BLOG

Monday, June 7, 2010

Ziarah ke United Kingdom

Alhamdulillah dalam tempoh dua minggu iaitu mulai 3 - 15 Jun 2010, saya berkesempatan menziarahi dua orang adik saya yang sedang menyambung pengajian mereka di peringkat PhD di sebuah universiti di United Kingdom. Tujuan asal lawatan adalah untuk menziarahi anak saudara saya (anak salah seorang adik saya berkenaan) yang telah menjalani pembedahan ketika usia 47 hari dan mengidap masalah genetik. Alhamdulillah, keadaannya kini stabil dan masih dalam pengawasan doktor di sini.

Sepanjang berada di sini, saya berpeluang berkenalan dan beramah mesra dengan beberapa warga Malaysia yang menetap di sini. Dalam pertemuan tersebut, kami sempat berbual dan berbicara tentang hal ehwal kehidupan mereka di sini dan juga perkembangan terkini di tanahair. Memandangkan saya merupakan salah seorang daripada anggota exco Kerajaan Negeri Kedah, maka mereka banyak mengajukan persoalan berkaitan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah setelah diambil alih oleh PR sejak 8 Mac 2008 yang lalu. Antara perkara yang dibangkitkan ialah berkaitan kerajaan negeri yang mutakhir ini digambarkan seolah-olah tidak stabil. Isu panas yang digembar-gemburkan ialah berkaitan pembubaran DUN Kedah ekoran khabar angin yang bertiup kencang mendakwa bahawa empat orang ADUN PKR dan DAP akan melompat parti sekaligus kerajaan PR tumbang. Isu ini diketahui dan diikuti oleh warga Malaysia di sini melalui akhbar-akhbar Malaysia versi online serta blog.

Menjawab persoalan tersebut, saya menegaskan bahawa Kerajaan PR Kedah adalah stabil dan pemerintahan berjalan seperti biasa dalam keadaan tenang. Buktinya pada 22 Mei 2010 yang lalu, tiga orang ADUN PKR dan seorang DAP telah membuat pengakuan secara terbuka dalam satu ceramah umum di Kompleks PAS Kedah bahawa mereka kekal bersama kerajaan PR. Mereka juga dengan tegas menolak segala dakyah palsu mainan UMNO/BN bahawa akan ada ADUN PR yang akan melompat parti atau menjadi ADUN Bebas. Mereka juga menolak segala persoalan daripada akhbar tentang kedudukan mereka. Cuma hanya ada dua orang ADUN PKR yang merupakan bekas exco kini bergelar ADUN Bebas. Itu betul.

Selanjutnya, saya juga menyatakan bahawa sumber pendapatan ekonomi negeri bertambah baik khasnya melalui aktiviti pembalakan dan kutipan cukai tanah. Sebelum 2008, perolehan dari sumber balak ialah di antara RM7 hingga 8 juta setahun. Ini disebabkan harga satu hektar kawasan balak yang ditebang dibuat secara runding terus dengan bayaran satu hektar RM 500. Apabila PR mengambilalih kerajaan negeri, polisi baru telah dibuat iaitu dengan menggantikan sistem runding terus kepada system tender terbuka yang dilihat lebih telus dan menguntungkan. Hasilnya, kerajaan berjaya mendapat satu hektar berjumlah RM 16 000 hingga ke RM 19 000. Hasil yang diperolehi dalam tahun 2008 ialah RM 35 juta. Ia diperakui dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 bahawa peningkatan hasil pembalakan meningkat sehingga 205%.

Berkaitan dengan pendapatan daripada sumber cukai tanah, sebaik sahaja kerajaan PR terbentuk, kerajaan telah mengumumkan potongan cukai hasil tanah antara 25%-75% setahun. Rentetan daripada itu, kerajaan telah mengalami kerugian daripada perolehan cukai tanah sebanyak RM 50 juta setahun. Namun begitu, kerajaan berjaya mendapat semula pulangan sebanyak RM 50 juta daripada sumber pembalakan bagi kawasan sudah kerja (KSK) di Hutam Simpan Baling, Kedah. Selanjutnya, pada 11 Mei 2010, kerajaan berjaya mengutip bayaran cukai tanah sebanyak RM 6.9 juta dalam tempoh masa 4 jam melalui bayaran secara kaunter bergerak yang diadakan di SP Plaza Sungai Petani, Kedah yang datangnya daripada GLC, jabatan-jabatan kerajaan dan individu. Selain daripada itu, peluang mendapat pengecualian potongan 50 % denda lewat bagi tunggakan cukai tanah sehingga 31 Disember 2010 telah memberi ‘win win situation’ antara kerajaan dalam mengutip tunggakan cukai dan pembayar cukai itu sendiri.

Kemajuan dalam pentadbiran kerajaan negeri turut memberi impak kepada isu-isu berkaitan kebajikan rakyat. Antara program yang dilaksanakan ialah Skim Kafalah Kedah yang telah dilancarkan pada 7 Februari 2010. Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM 3.6 juta untuk membiayai skim ini. Skim ini diwujudkan bertujuan untuk membantu warga dan pemastautin Negeri Kedah yang miskin dengan pendapatan Ketua Isi Rumah sebanyak RM 720.00 ke bawah atau pendapatan perkapita sebanyak RM 180 bagi setiap isi rumah. Bagi mana-mana warga Kedah tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik yang meninggal dunia, sejumlah RM500 akan disumbangkan melalui skim ini bagi membiayai pengurusan jenazah.

Selain daripada itu, saya juga menjelaskan bahawa Kerajaan turut memberi penumpuan kepada pembinaan rumah kos rendah bagi rakyat yang memerlukan rumah. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan terdapat 21,000 permohonan daripada rakyat yang memerlukan rumah. Pada 31 Mei 2010, kerajaan telah mengadakan majlis pecah tanah untuk mendirikan rumah kos rendah berhampiran Taman Tunku Sarina, Jitra, Kedah. Pembinaan rumah kos rendah juga akan dibina di Kuala Ketil, Baling di mana semua projek perumahan kos rendah tersebut akan dimajukan oleh Darulaman Realty Sdn Bhd iaitu anak syarikat Bina Darul Aman Berhad.

Dalam perbualan tersebut, barulah mereka faham bahawa kerajaan PR kukuh dan mampu membuat perubahan kepada rakyat. Apa yang digembargemburkan oleh media sebenarnya palsu dan media cuba mengaburi mata rakyat dengan pelbagai isu-isu yang mereka sendiri terperangkap.

Di bawah ini ada sedikit gambar-gambar saya semasa berada di sana.














1 comment:

Gedung Akal said...

Selamat berjuang YB. Moga-moga Kedah terus Sejahtera!