WELCOME TO MY BLOG

Sunday, June 20, 2010

Jelaskan hutang pinjaman biasiswa, beri manfaat pada pihak lai


ALOR SETAR, 17 Jun:  Sehingga bulan Jun 2010, jumlah tunggakan pinjaman biasiswa adalah sebanyak RM16,828,000 dan jumlah peminjam yang aktif membayar balik pinjaman biasiswa adalah seramai 1,021 orang, sementara yang tidak aktif membayar balik pinjaman biasiswa adalah seramai 3,180 orang.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, apabila hal sebegini berlaku, Kerajaan Negeri terpaksa memikirkan satu tindakan yang perlu kerana peminjam telah berlaku tidak adil kepada rakyat Negeri Kedah.
Menurutnya, wang yang digunakan oleh mereka adalah wang biasiswa Negeri Kedah iaitu wang kerajaan di mana wang kerajaan adalah hak semua rakyat Kedah.
“Alhamdulillah, dalam tempoh Januari 2010 hingga 14 Jun 2010, jumlah bayaran pinjaman yang dibayar balik adalah sebanyak RM1,928,653.54 dan beberapa kaedah telah dikenal pasti dalam usaha kerajaan untuk mendapatkan semula wang pinjaman itu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan Menteri Besar Bersama Pelajar Tahun Akhir Lembaga Biasiswa Negeri Kedah (LBNK) di Hotel Regency Alor Setar, di sini.
Menteri Besar menjelaskan, LBNK menjalinkan hubungan maklumat dengan CTOS (Credit Tip Off services) untuk menyenaraihitamkan nama peminjam jika mereka engkar membuat bayaran balik serta nama penjamin.
“Ada yang kata kita tidak sepatutnya bertindak sedemikian, tetapi saya juga ingin menyoal, adakah kita patut membiarkan wang kerajaan digunakan dengan begitu sahaja apabila bayaran balik tidak dibuat, sebenarnya peminjam telah menimbulkan pelbagai kesulitan dari sudut pembangunan Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Tambahnya, antara kaedah lain adalah melalui tindakan mahkamah, panggilan telefon untuk mendapat maklum balas kepada peminjam dan penjamin, lawatan ke rumah dan termasuk menghubungi majikan untuk mendapatkan kebenaran memotong gaji peminjam atau penjamin yang engkar membuat bayaran balik.
Bagaimanapun, katanya, sebagai galakan untuk peminjam membuat bayaran balik, kerajaan telah memberikan diskaun sebanyak 25 peratus dari jumlah pinjaman kepada mereka yang ingin membuat bayaran penuh jumlah pinjaman yang dibuat.
Keistimewaan ini, jelasnya, ditawarkan mulai 1 Januari 2010 dan berakhir pada 31 Disember 2010 dan selain itu, sebagai kemudahan bagi setiap peminjam melunaskan bayaran, pihak LBNK juga telah memperkenalkan bayaran semula melalui sistem e-banking.
“Peminjam boleh membuat bayaran melalui Bank Islam, Biz, CIMB cliks, Pos Online dan Bank Simpanan Nasional (BSN) Online atau kaedah potongan gaji secara terus,” katanya.
Menurutnya, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar usaha ini mendapat kerjasama terbaik dari setiap peminjam.
“Kerajaan telah memberikan layanan serta kemudahan kepada setiap peminjam dan selepas ini, setiap peminjam pula yang akan membalas segala jasa dan kemudahan yang telah dinikmati selama ini,” ujarnya.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, YB. Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul dan Pengarah LBNK, Haji Md. Nordin Yahaya yang juga Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Bahagian Sumber Manusia).

No comments: