WELCOME TO MY BLOG

Sunday, June 20, 2010

Pelajar Insaniah perlu ‘bermentaliti antarabangsa


ALOR SETAR: Penuntut Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) digesa bermentaliti dan berkeperibadian antarabangsa untuk mencapai tahap kecemerlangan yang diharapkan universiti.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Profesor Madya Zakariya Man berkata, untuk bersikap demikian penuntut mesti mempunyai keazaman kukuh bagi merealisasikan hasrat universiti.

“Walaupun Insaniah sebuah universiti berteraskan Islam namun dalam masa sama menggalakkan penuntutnya menguasai bahasa dunia sama ada Inggeris atau Arab atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Menurutnya, ia bukan saja untuk kepentingan penuntut malah negara kerana secara tidak langsung mereka menjadi duta memperkenalkan Kedah dan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyaksikan majlis Lafaz Ikrar Minggu Silaturahim bagi sesi pengambilan Jun 2010/2011 di Dewan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, di sini.

Dalam majlis itu, seramai 1,339 penuntut baru Insaniah sah menjadi mahasiswa universiti berkenaan yang bakal mengikuti pelbagai kursus di peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah.

Profesor Madya Zakariya berkata, penuntut Insaniah mesti berfikiran positif untuk mencapai kecemerlangan dengan mempunyai semangat kental dan berusaha merubah diri.

“Apabila minda berfikiran positif segala halangan dapat diatasi sekali gus penyuntik semangat kepada rakan lain untuk terus mencapai kecemerlangan pada masa depan,” katanya.
Turut hadir Pendaftar, Encik Mohd Najib Abdullah; Bendahari, Encik Abdul Latif Din, dan semua dekan dan pengarah jabatan masing-masing.

No comments: