Kerajaan Negeri, katanya, telah menyalurkan peruntukan yang banyak bagi melaksanakan bermacam-macam aktiviti termasuklah program ko-kurikulum di negeri ini.
“Apabila mereka ditanam dengan nilai-nilai yang murni di sisi Islam, maka akan lahirlah satu anak bangsa yang berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penutup Ko-Kurikulum SPI/KAFA Negeri Kedah Darul Aman 2010 di Sekolah Kebangsaan Kebun Pinang, di sini.
Menteri Besar berharap supaya program seumpama ini akan terus dijalankan untuk mengangkat martabat anak-anak menjadi insan yang terbaik.
“Kerajaan Negeri akan terus memberi komitmen yang serius terhadap pendidikan agama termasuk kelas SPI/KAFA dengan menyalurkan peruntukan tertentu untuk kemajuan pendidikan Islam di negeri ini,” ujarnya.
Tambahnya, majlis Ko-Kurikulum SPI/KAFA yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah adalah salah satu aktiviti untuk membina pembangunan insan supaya menjadi insan yang sempurna pada masa hadapan dengan berbekalkan ilmu duniawi dan ukhrawi yang selaras dengan matlamat ‘Kedah Sejahtera’ yang diharap akan membina rakyat negeri ini dengan kesejahteraan.
“Pada hari ini, kita telah dapat melihat anak-anak kita yang mengikuti kelas SPI/KAFA yang boleh kita banggakan,” jelasnya.
Program Khatam Al-Quran yang dijangkakan pada tahun 2010, katanya, melibatkan seramai 12,000 murid dan jumlah itu meningkat jika dibandingkan pada tahun 2009.
“Matlamat kelas SPI/KAFA ini adalah untuk memberi pendidikan agama khususnya dalam bidang Al-Quran dan Fardhu Ain dan oleh yang demikian, amat wajarlah semua pihak perlu mengambil inisiatif bagi menjayakan pendidikan ini,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment