WELCOME TO MY BLOG

Sunday, October 28, 2012

Ijtimak Korban Perdana 2012



Ayer Hitam - 28 Okt

PAS Kawasan Jerlun dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Ayer Hitam dan Pusat Khidmat DUN (PKD) Kota Siputeh telah menganjurkan Ijtimak Korban Perdana 2012 pada 28 Okt 2012 di perkarangan Markaz PAS Kawasan Jerlun, KM 22, Kg Lubuk Pinang. Dalam majlis tersebut, YB Ust Abd Ghani telah menyampaikan  tazkirah berkaitan kepentingan mengadakan qurban dan petikan sejarah Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail AS. Seterusnya YB telah menyampaikan sumbangan daging qurban kepada Pengerusi & Setiausaha MKK untuk dibawa pulang dan diberikan kepada golongan yang berhak di kampung masing-masing.
      
Dalam Ijtimak Korban tersebut, sebanyak 12 ekor lembu telah dibuat korban di mana sebanyak 532 bungkus berjaya diagihkan kepada semua Pengerusi & Setiausaha MKK. Buat julung kalinya inilah pertama kali majlis seumpama ini dianjurkan oleh PAS Kawasan Jerlun, PKWR dan PKD. Acara tersebut bermula seawal jam 7 pagi lagi di mana semua lembu telah dikorban di pusat penyembelihan lembu di Kg Tempayan Pechah dan seterusnya dibawa ke Markas PAS Kawasan Jerlun untuk dibungkus dan diagihkan. Majlis tersebut selesai sekitar jam 12 tengahari dan diakhiri jamuan kepada semua yang hadir.         

Tuesday, October 16, 2012

Lawatan YB ke rumah mangsa angin puting beliung

 Ayer Hitam - 14 Okt 2012


YB Ust Hj Abd Ghani B Hj Ahmad, ADUN Ayer Hitam telah melakukan lawatan segera ke rumah mangsa tiupan angin puting beliung pagi kelmarin di sekitar Kg Pida 4 dan Pida 5 Matang Gelok, Mukim Jeram. Kehadiran YB ADUN Ayer Hitam diiringi Sdr Wan Yusof B Wan Jusoh selaku Pegawai Khas dan 2 orang MKK iaitu Hj Che Kar B Che Said dan Rosli B Osman. 

Mengikut Encik Hashim B Morad (gambar kiri), kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang secara tiba-tiba tanpa ada angin ataupun hujan. Ketika  kejadian, beliau sedang berehat di dapor bersama anak dan isteri. Beliau bersyukur kepada Allah kerana tiada sebarang kecederaan yang menimpa keluarganya.Dalam kunjungan ke rumah beliau, YB telah menyampaikan sumbangan wang tunai sebagai tanda ingat di atas musibah yang menimpa.


Beginilah keadaan bumbung rumah Ahmad B Idris yang diterbangkan angin puting beliung. Ketika kejadian beliau tiada di rumah. Beliau bergegas pulang apabila dimaklumkan oleh isterinya atas musibah yang menimpa rumahnya. Beliau juga bersyukur kepada Allah kerana ahli keluarganya dalam keadaan selamat.      
YB turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada suami Puan Jamaliah Bt Aziz ketika menziarahinya. Beliau menceritakan detik kejadian angin puting beliung yang berlaku cukup pantas. Kesannya atap anjung rumahnya diterbangkan ke jalan manakala atap dapor diterbangkan bersebelahan rumah ibunya. Dalam lawatan tersebut YB btelah meminta Pegawai JKM dan Juruteknik Pejabat Daerah Kubang Pasu serta Penghulu, Encik Azizi B Abdullah membuat bancian kerosakan yang menimpa 9 buah rumah mangsa yang terlibat.

Tuesday, March 27, 2012

ADUN ziarah mangsa ribut

26 Mac 2012, Kg Hutan Setali Mk Tunjang

ADUN Ayer Hitam, YB Ust Hj Abd Ghani B Hj Ahmad bersama Pegawai Khas, Encik Wan Yusof B Wan Jusoh serta Pengerusi MKK, Ust Hj ibrahim B Yahya telah menziarahi mangsa ribut jam 6.30 petang tadi dan meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu dengan mereka. Seramai 3 orang penyewa rumah kedai telah meerima musibah tersebut kira-kira jam 5.30 petang kelmarin. Walau bagaimanapun tiada kecederaan kepada mangsa yang terlibat kecuali atap rumah kedai mereka diterbangkan angin.


Bagi Saaidun B Saad, 37 Tahun telah menyewa rumah kedai tersebut sejak 12 tahun yang lalu. Beliau membuka bengkel membaiki motorsikal dan tinggal di rumah kedai tersebut yang bersebelahan dengan bengkelnya. Kerosakan berlaku di bahagian dapor rumah di mana bumbung rumah tersebut diterbangkan angin. Beliau menyasarkan kerugian sekitar RM 6000. Beliau tinggal di situ bersama seorang isteri dan 5 orang anak yang masih bersekolah. Ketika kejadian tersebut, beliau berada di bengkel dan sempat melihat kejadian ribut. Sepanjang tinggal di situ beliau mengalami musibah ribut 2 kali iaitu 2002 dan 2012. Beliau bersyukur kepada Allah kerana isteri dan anak-anaknya selamat.    


Selain daripada itu, turut menjadi mangsa ialah pemilik bengkel membaiki kereta dan menjual tayar iaitu Mohd Khusairi B Ibrahim,27 tahun. Beliau yang menyewa 5 pintu kedai tersebut pertama kali menghadapi musibah ribut di kedainya. Beliau juga tinggal di rumah kedai bersama seorang isteri dan 2 orang anak yang masih kecil. Kerugian dianggarkan bernilai RM 10,000 di mana sebuah mesin yang digunakan di bengkelnya didapati rosak selepas kena air. Ketika kejadian beliau berada di bengkelnya.Ketika waktu malam, beliau menghantar isteri dan anak-anak bermalam di rumah keluarganya.   
Beginilah keadaan kedai tayar kepunyaan Encik Mohd Khusairi yang dapat dilihat dihujungnya keadaan bumbung yang telah diterbangkan angin kuat yang berlaku 5.30 petang kelmarin.

Dalam masa yang singkat itu, YB Ust Ghani menasihatkan mereka agar tabah menerima ujian Allah dan ketabahan itu akan digantikanj dengan rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus. Sebelum pulang, YB Ust Ghani telah menghulurkan sumbangan sebagai tanda simpati di atas musibah yang menimpa. Beliau akan memastikan bantuan segera dapat dihulurkan oleh jabatan kerajaan yang berkaitan kepada mangsa ribut.  

Monday, March 26, 2012

Wau : kembalikan nostagia zaman silam-YB Ust Ghani

25 Mac, UPU Matang Bonglai -
PKWR & Penyelaras MKK Jerlun menganjurkan pertandingan wau mulai 20 - 25 Mac 2012 di Dataran UPU Matang Bonglai. Seramai 34 peserta telah mengambil bahagian dengan 582 ekor wau dipertandingkan. Program ini sungguh meriah dan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat. Ada  di antara peserta yang datang daripada Perlis dan Pulau Pinang selain peserta tempatan. Program ini turut mendapat sokongan daripada Exco Kerajaan Negeri iaitu YB Dato Dr Hamdan B Mohd Khalib dan YB Ust Hj Abd Ghani B Hj Ahmad selaku ADUN Ayer Hitam.   


Sepanjang pertandingan wau tersebut berlangsung 5 hari, ramai peserta yang terlibat mengambil bahagian dalam banyak siri pertandingan dengan jumlah wau yang banyak meskipun harga setiap ekor wau didaftarkan dengan harga RM 5 sahaja. Ada yang bertanding 5 ekor, 15 ekor dan 25 ekor. Ini menunjukkan minat yang mendalam di kalangan mereka terutamanya golongan tua di mana pertandingan wau telah mengembalikan nostalgia di zaman silam ketika mereka muda remaja. Kelihatan YB Ust Ghani menyampaikan hadiah utama berupa TV Plasma 32 inci kepada Encik Abdullah daripada Kg Padang Lalang, Kepala 20.


Encik Abdullah juga turut memenangi tempat kedua pertandingan wau dengan hadiah sebuah basikal Pixcy. Bagi Encik Abdullah, beliau rasa gembira dan berbaloi dengan kos yang dikeluarkannya kerana kedua-dua hadiah yang dimenangi itu mencecah harga RM 1300 . Pihak Penganjur telah menyediakan hadiah yang lumayan kepada peserta yang berjaya seperti kipas angin, pembakar roti, pemanas air elektrik, dapor gas, set periuk serta hamper bagi cabutan bertuah. Hadiah cabutan bertuah yang disediakan oleh penganjur menarik minat kanak-kanak hingga mereka menunggu acara selesai.


        
Pihak penganjur dan urusetia pertandingan wau menunjukkan isyarat bagus selepas berakhirnya pertandingan wau tersebut. Bagi mereka masa yang dihabiskan selama 5 hari itu cukup mengembirakan kerana mendapat sambutan di luar dugaan. Purata kehadiran orang ramai menyaksikan pertandingan wau sekitar 800 - 1000 orang setiap hari. Pertandingan wau ini turut mendapat sokongan daripada Persatuan Pelayang Kedah yang pernah menjadi peserta di peringkat kebangsaan sejak 2008 hingga sekarang.  

Monday, February 20, 2012

Bolasepak bendang meriah - ADUN Ayer Hitam

PKWR DUN Ayer Hitam dengan kerjasama MKK Zon 5 Ayer Hitam telah menganjurkan perlawanan bolasepak bendang pada 18 Februari 2012 di Kg Padang Tui, Ayer Hitam. Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Ust Hj Abd Ghani B Hj Ahmad selaku ADUN Ayer Hitam merangkap Exco Kerajaan Negeri Kedah. Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa teruja dan gembira melihat anak muda yang lengkap dengan jersi bola sepak masing-masing menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dalam menyertai pertandingan. Seramai 16 orang  MKK telah menghantar satu pasukan yang mewakili kampong masing-masing di mana Ketua Kampong bertindak sebagai Pengurus Pasukan.

(Kelihatan YB Ust Abd Ghani, Ust Mohd Nazri Ibrahim selaku Pengarah PKWR dan Encik Saidin, Ketua Polis Balai Ayer Hitam dalam majlis perasmian)   

    
Perlawanan bolasepak 7 sebelah tersebut bermula jam 9.30 pagi dan berakhir 6.30 petang. Seramai 17 pasukan yang menyertai perlawanan bolasepak bendang termasuk satu pasukan daripada Balai Polis Ayer Hitam. Kehadiran pengunjung dianggarkan seramai 500 orang di mana pihak penganjur menyediakan jamuan tengahari kepada mereka. Ironisnya, para pemain akan berhenti rehat dan solat Zohor dan Asar secara berjamaah di atas padang tersebut.

(YB Ust Abd Ghani dengan gaya tersendiri membuat tendangan penalti dan masuk ke dalam gol sebagai gimik perasmian)

Dalam pertandingan tersebut, Kg Kuala Tunjang telah muncul sebagai Johan dengan meraih hadiah wang tunai RM 300 dan hadiah berupa Sajadah kepada setiap pemain.Naib Johan dengan wang tunai RM 200 dan Sajadah dimenangi oleh Kg Pekan Ayer Hitam manakala tempat ketiga dan keempat dimenangi oleh Kg Jerlun Hiler dan Tandop Kedabu masing-masing dengan hadiah wang tunai RM 100 dan Sajadah. Hadiah disampaikan oleh Encik Hussain B Omar (Penghulu Mukim Jerlun) dan Encik Wan Yusof B Wan Jusoh (Pegawai Khas Exco). 



(Mohd Fauzi B Ghazali selaku pengadil telah menerima bolasepak daripada YB Ust Abd Ghani untuk pertandingan bolasepak bendang)