WELCOME TO MY BLOG

Friday, July 2, 2010

Kerajaan Negeri -UUM rangka pelan basmi kemiskinan

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

SINTOK: Sinergi antara Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Kedah Sustainable Development Centre Universiti Utara Malaysia (KSC-UUM) dalam merangka Pelan Pembangunan Keusahawanan Negeri Kedah dilihat sangat strategik dan dinamik dalam usaha membasmi kemiskinan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, Abd Ghani Ahmad, projek usaha sama antara UPEN dan UUM melibatkan aktiviti keusahawanan yang memberi peluang pekerjaan, pembangunan kreativiti dan inovasi dan pembentukan daya saing yang mantap.

Beliau menjelaskan, UPEN memerlukan perancangan yang mantap ke arah memajukan ekonomi Negeri Kedah manakala UUM sebagai universiti pengurusan memiliki kepakaran dalam bidang tersebut.

“Gabungan kedua-duanya akan memberi impak positif terhadap kemajuan dan kelestarian pembangunan negeri yang melihat pembangunan usahawan sebagai agenda penting dalam membina komuniti berteraskan keusahawanan yang mapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada lawatan kerja ke KSC-UUM sejurus sebelum menghadiri pembentangan di EDC-UUM, di sini baru-baru ini.

Abd Ghani menambah, KSC-UUM membantu UPEN menyediakan Pelan Strategik Pelan Pembangunan Keusahawanan Negeri Kedah yang mengambil kira pelbagai aspek penting bagi menjamin kelestarian usahawan yang dibangunkan.

Ujarnya, program seumpama ini dapat menjana pembangunan lestari dan membantu merealisasikan hasrat kerajaan mencapai status negeri maju melalui KSC-UUM yang giat menjalankan penyelidikan, perundingan serta pembangunan.

“Pertemuan ini diharap akan mencetuskan hubungan kerjasama yang lebih erat dalam merealisasikan pelaksanaan program pembangunan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah KSC-UUM, Prof. Madya Dr. Rohana Yusof berkata, usaha itu dilaksanakan selaras dengan hasrat untuk membangunkan ekonomi dengan berkesan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan.

“Sekumpulan penyelidik UUM di bawah penyeliaan KSC-UUM terlibat dalam membangunkan penyelidikan untuk merancakkan ekonomi secara bersepadu,” katanya.

Dr. Filzah Md Isa mengetuai kumpulan penyelidik yang disertai Prof. Madya Dr. Faudziah Zainal Abidin, Dr. Siti Norezam Othman, Prof. Madya Habshah Bakar, Azhar Ahmad, Mohd Hanizan Zalazilah dan Kamarulzaman Md Ali.

Tambahnya, hasil kajian yang dijalankan bakal menyumbang kepada pembangunan bukan sahaja di Negeri Kedah malah negeri-negeri di dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) termasuk Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Selain itu, katanya, pertemuan itu juga diadakan untuk melihat perkembangan KSC-UUM dalam menjalankan projek selain menjalin hubungan baik antara UPEN dalam melaksanaan program pembangunan melalui penyelidikan dan perundingan.



1 comment:

BILLYtheKID said...

IJM Corporation Berhad bakal dianugerahkan sebagai ‘Total Sub Contractor’ Kampus Baru KUIN, di Kuala Ketil oleh Bina Darulaman Berhad (BDB)?.