Kelmarin, Mahkamah Tingi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan & Kuasa-Kuasa Khas) telah menolak permohonan SPR untuk menggantung perlaksanaan Perintah Mahkamah yang diperolehi oleh Speaker DUN Kedah, Dato Dr Abdul Isa B Ismail dan mengarahkan SPR mengadakan pilihanraya dalam tempoh 60 hari dari tarikh keputusan 16 November 2009 lalu. Dalam semakan kehakiman tersebut, Mahkamah tersebut telah menerima permohonan Speaker agar Mahkamah mengisytiharkan ADUN Kota Siputeh hilang kelayakannya sebagai wakil rakyat kerana gagal hadir ke persidangan DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker. Ini merupakan kes pertama dalam Sejarah Malaysia yang membabitkan wakil rakyat hilang kelayakan disebabkan tidak hadir mesyuarat bukan disebabkan letak jawatan atau kematian.
Isu ini menarik perhatian umum kerana isu yang hampir sama berlaku di Perak dalam bulan Februari 2009 lalu di mana SPR enggan mematuhi keputusan Speaker yang mengisytiharkan 3 orang wakil rakyat PR iaitu ADUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang telah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan pilihanraya kecil perlu diadakan. Perintah Mahkamah tersebut akan dijadikan 'precedent' dalam kes di Perak. Ini akan menggugat Kerajaan BN di Perak yang dibentuk dengan membelakangkan aspek perundangan dan Perlembagaan Perak. Ini sebenarnya yang diinginkan oleh SPR.
Apa yang dikesalkan ialah SPR cuba menangguk di air keroh apabila cuba mencabar keputusan Mahkamah sedangkan SPR adalah agensi pelaksana dan Mahkamah adalah institusi kehakiman yang mengeluarkan perintah. Tidak dinafikan bahawa hak merayu memang wujud dalam institusi perundangan negara tetapi SPR perlu nilai kewajarannya untuk merayu sedangkan semua pihak mula menuding jari kepada SPR seolah-olah SPR yang diambil tindakan oleh Speaker bukan Dato Abu Hasan B Sarif. Orang yang dihukum tak ambil peduli dan boleh terima keputusan Mahkamah sedangkan SPR yang diperintahkan untuk buat piliharaya kecil pula berdalih dengan menggunakan pelbagai alasan yang tak masuk akal untuk merayu hingga ke peringkat yang lebih tinggi sehingga mereka rasa puas hati. Inilah mentaliti SPR yang sebenarnya seolah-olah mereka adalah badan politik bukan badan bebas .
Sepatutnya SPR menghormati dan cuba menyelami maksud Seksyen 51 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah kerana Seksyen tersebut mewajibkan semua wakil rakyat hadir mesyuarat atau persidangan DUN kecuali bersebab dan dibenarkan oleh Speaker. Bukankah SPR menpunyai Penasihat Undang-Undangnya sendiri dan mereka tentu faham semangat dan roh Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah yang digubal oleh DUN dan diperkenankan oleh KDYMM Tuanku Sultan.Tindakan SPR memfailkan rayuan demi rayuan akan menggambarkan bahawa SPR sudah menjadi alat dan boneka pihak pemerintah yang ingin mempertahankan maruah dan imej mereka yang sudar tercalar bahkan semakin terus tercalar.
No comments:
Post a Comment