Oleh: ZULKIFLI YAHAYA  
 Alor Setar: Pengerusi  Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pembangunan Insan, Badan-badan Bukan Kerajaan  dan Penerangan, YB Dr. Ismail Salleh menyelar pihak-pihak tertentu yang  menjadi batu api untuk melaga-lagakan antara kerajaan Pakatan Rakyat dan  pihak istana.   
 
 Mengulas  tindakan Setiausaha Pemuda UMNO Kedah, Haris Che Mat yang memberitahu akan  membuat laporan polis terhadap surat layang yang mendakwa kononnya seorang  Exco Kerajaan Negeri Kedah menghina Sultan, Dr. Ismail menyifatkan tindakan  tersebut sebagai 'kurang cerdik'.  
 "Takkanlah surat layang yang penulisnya pun takut untuk  mendedahkan identiti, mahu dijadikan asas rujukan, nampak sangat tindakan  (Pemuda) itu kurang cerdik," ujarnya.  
 Menurut Dr. Ismail, sekalipun seandainya sesuatu maklumat itu  benar tetapi ia boleh memecahkan perpaduan dan keharmonian antara rakyat,  sepatutnya sebagai pemimpin bertanggungjawab perkara seperti itu tidak  diperbesarkan.   
 Apatah lagi,  katanya, jika isu dibangkitkan langsung tidak mempunyai asas dan bukti,  sebaliknya fitnah yang disebarkan melalui surat layang semata-mata.   
 "Dari aspek yang lain  nampak sangat mereka ini berniat jahat serta ingin mencari keuntungan  politik sempit, langsung tidak memikirkan soal keharmonian dan kesejahteraan  rakyat.  
 "Lebih malang  lagi pihak yang mereka mahu lagakan adalah antara kerajaan pilihan rakyat  dengan istana," ujarnya.  
 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu menasihatkan UMNO supaya  berpada-pada dalam berpolitik. "Jangan hanya kerana kemaruk kuasa, nikmat  kesejahteraan yang kita kecapi selama ini mahu dihancurkan dengan sekelip  mata," katanya.  
  Mengenai  hubungan antara kerajaan Pakatan Rakyat Kedah dengan pihak istana, Dr.  Ismail menjelaskan bahawa ia berlangsung dalam suasana amat baik. Tuanku  Sultan sendiri, kata Dr. Ismail, sedar mengenai permainan pihak tertentu  untuk memecahkan keharmonian antara kerajaan negeri dan istana.   
 "Saya menyeru Pemuda UMNO supaya insaf  dan bertaubat, hentikanlah kerja mengadu domba kerana itu adalah kerja  syaitan," ujarnya.  
 
1 comment:
Pas boleh mendedahkan apa sahaja kemungkaran yang telah dilakukan oleh UMNO. Tetapi kemungkaran yang telah dilakukan oleh PR hendaklah ditutup tidak boleh mendedahkan kepada Umum. Tanyalah pagawai tinggi kerajaan yang bercakap dengan EXCO itu.. rakyat hendak tahu keadaan sebenarnya.
Post a Comment