WELCOME TO MY BLOG

Sunday, May 16, 2010

Dana Usahawan untuk menaik taraf para peniaga

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Dana Usahawan yang diwujudkan sejak 2008 oleh kerajaan negeri bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bagi membantu para usahawan kecil mengembangkan perniagaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, YB. Ustaz Abdul Ghani Ahmad berkata, kerajaan negeri bersama PKNK dalam usaha melahirkan usahawan Bumiputera telah berusaha melaksanakan program keusahawanan termasuklah mewujudkan dana usahawan PKNK.

“Di bawah program ini, usahawan-usahawan kecil dapat dibantu menaikkan taraf sedia ada keadaan yang lebih baik.

“Selain itu, usahawan-usahawan yang dikenalpasti menghadapi kesukaran di dalam mendapat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan juga akan dipertimbangkan untuk mendapatkan dana ini,” ujar beliau pada Majlis Penyampaian Cek Dana Usahawan PKNK 2010 di Hotel Regency, di sini.

Menurut beliau, selain daripada dana usahawan ini, kerajaan negeri dengan PKNK telah merancang untuk menubuhkan sebuah pusat pembungkusan dan pelabelan bagi produk makanan untuk membantu usahawan meningkatkan kualiti pembungkusan produk-produk menepati kehendak pasaran hypermarket mahupun luar negara.

“Seminar mengenai kepentingan pembungkusan dan pelabelan telah dilaksanakan oleh PKNK, insyaAllah terdapat beberapa projek yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

“Dengan terlaksananya pusat ini, maka pemantapan pembungkusan dan kualiti dapat ditingkatkan lagi ke satu tahap yang membanggakan,” ujar beliau.

Tambah beliau, para usahawan yang menerima dana ini diharap memanfaatkannya sebaik mungkin serta berpegang kepada mesra peminjam, iaitu mudah pinjam dan mudah bayar bagi memberi peluang kepada usahawan lain menerima dana tersebut.

“Janganlah kita menjadikan masalah kewangan sebagai masalah utama yang akhirnya kita hilang jati diri untuk mula atau berjinak-jinak dengan bidang keusahawanan.

“Jadi, saya seru kepada peminjan agar membayarnya agar memberi peluang kepada mereka yang lain untuk sama-sama bangun mengembangkan bidang perniagaan yang secara tidak langsung dapat memartabatkan perniagaan di kalangan umat Islam,” jelas beliau.

No comments: