WELCOME TO MY BLOG

Tuesday, May 25, 2010

Haji Mat Isa Hassan Tokoh Guru Negeri Kedah 2010

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR


JITRA, 24 Mei: “Tugas seorang guru dalam mendidik anak bangsa tidak pernah terhenti walaupun bertukar jawatan dan guru tetap guru biar apa pun jawatan yang dipegang.”

Itulah kata-kata Tokoh Guru Peringkat Negeri Kedah 2010, Haji Mat Isa Hassan, 64, yang mengabdikan dirinya dalam bidang pendidikan selama lebih 35 tahun.

Meskipun memegang pelbagai tugas termasuk dari peringkat sekolah sehingga pentadbiran di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, namun semuanya tertakluk kepada konsep mendidik.

Menurut bekas Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan JPN Kedah itu, segala pengalamannya di dalam bidang pendidikan bermula apabila beliau menjadi guru sementara pada tahun 1965.

“Walaupun bertukar jawatan menjadi pentadbir, kita masih menjadi pendidik tetapi dalam kaedah yang berbeza-beza dan oleh itu, tanggungjawab sebagai guru tidak pernah terhenti walaupun bertukar jawatan dan ini yang kita perlu pegang sebagai seorang pendidik,” katanya.

Haji Mat Isa dianugerahkan Tokoh Guru Peringkat Negeri Kedah 2010 sempena majlis pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah di Institut Pendidikan Guru, Kampus Darul Aman, di sini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah.

Haji Mat Isa yang mempunyai empat anak dan dua cucu memulakan karier sebagai guru sementara di Sekolah Kebangsaan Pokok Asam, Pendang pada tahun 1965 dan pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) pada tahun 1970.

Antara jawatan yang pernah dipegang beliau ialah Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Lubuk Merbau (1980 hingga 1988), Pegawai Pelajaran Daerah Kubang Pasu (1993 hingga 1998) dan Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan JPN Kedah dari tahun 1998 sehingga pencen pada tahun 2000.

No comments: