WELCOME TO MY BLOG

Sunday, May 16, 2010

Kampus Insaniah jadi projek pendidikan dan kebajikan

OLEH: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
GUAR CHEMPEDAK – Pendidikan juga adalah merupakan kebajikan. Pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil membuktikan kerajaan negeri menitikberat kebajikan rakyat.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, pembinaan kampus tetap KUIN bukan sahaja dapat mendidik anak bangsa menimba ilmu malah secara tidak langsung rakyat tempatan turut merasai tempias pengaliran wang masuk apabila pelajar luar datang belajar dalam Kedah.

“Ramai orang tanya apakah kesan kepada pembinaan Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil? Ingin saya jelaskan disini, apabila kampus tetap ini siap, ini juga merupakan kebajikan kepada rakyat.

“Sebagai contoh, kolej ini mampu tempatkan 10 ribu pelajar, dan kesemuanya adalah pelajar Kedah, maka duit Kedah hanya belanja dalam Kedah, pengaliran wang keluar hanya berlaku dalam Kedah, tapi jika anak kita belajar di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, duit rakyat Kedah perlu dibelanjakan di sana, maka penduduk sana dapat manfaatnya.

“Tetapi jika ada pelajar luar belajar dalam Kedah, maka rakyat dapat tempiasnya, mereka akan belanja di Kedah, dan rakyat boleh manfaatkan perbelanjaan tersebut,” jelas beliau pada Majlia Penyampaian Bantuan Pejabat Kebajikan Masyarakat dan Skim Kafalah Daerah Yan di Dewan Serbaguna Guar Chempedak.

Tambah beliau, kerja-kerja fizikal telah dilaksanakan sejak September 2009 dan dijangka siap pada September 2012 dan bakal dilengkapi banyak pembangunan fizikal kepada kawasan sekitar tapak kampus.

“Sepanjang jalan dari Kuala Ketil ke Merbau Pulas, dilengkapi dengan tasik seluas 1.2 kilometer, air jernih lagi bersih, dan selepas ini akan jadi tempat lumba perahu antara universiti di Malaysia, dalam hutan kelapa sawit.

“Di sebelahnya kita akan bina masjid seumpama masjid terapung di Terengganu, kita juga telah mendapat penderma untuk pembinaan masjid tersebut,” ujar beliau.

Sehingga kini, sebelum ianya siap sepenuhnya, permintaan untuk melanjutkan pelajaran di kampus ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Ini satu kejayaan kerajaan negeri untuk kebajikan rakyat, iaitu pendidikan. Bagi fakulti perubatan, peruntukkan hanya bagi 50 pelajar, tetapi sehingga kini kita telah terima 83 permintaan daripada pelbagai kaum untuk belajar di sini.

“Universiti Islam Antarabangsa juga telah tempah 44 tempat untuk menempatkan pelajar, ini sahaja sudah hampir 50. Kita juga ada fakulti kejururawatan dan dalam proses mewujudkan fakulti undang-undang,” jelas beliau.

No comments: