WELCOME TO MY BLOG

Wednesday, May 6, 2009


Saya bertuah bertugas dengan tiga Menteri Besar - Syed Unan Mashri

Oleh: WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR, 4 Mei: “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri yang telah memberi peluang dan kepercayaan kepada saya untuk menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.”

Itulah antara kata-kata Setiausaha Kerajaan Negeri, YB. Dato’ Bijaya Indera Dato’ Paduka Haji Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahabudin ketika menyampaikan ucapan pada majlis perhimpunan bulanan bersama kakitangan Wisma Darul Aman di Pekarangan Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, peluang dan kepercayaan yang diberikan itu, secara tidak langsung memudahkannya menjalankan tugas dengan lebih mudah dan sekiranya timbul sebarang masalah, dia akan berjumpa dengan Menteri Besar untuk menyelesaikan masalah itu.

“Semenjak saya memegang jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, banyak program dan acara dijalankan di peringkat negeri dan saya merasa bertuah kepada dapat bertugas dengan tiga Menteri Besar dalam tempoh empat tahun setengah,” jelasnya.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada ketua jabatan, pegawai kerajaan dan kakitangan Wisma Darul Aman kerana memberi sepenuh kerjasama kepadanya dalam menjalankan perkhidmatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kita juga merasa bertuah kerana dapat menganjurkan Perayaan Jubli Emas Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah Ke-81 baru-baru ini dan turut mempunyai sebuah bangunan yang baru untuk kakitangan Wisma Darul Aman bertugas di sini,” ujarnya.

Sebagai kakitangan kerajaan, katanya, kita adalah nadi dari segi pentadbiran dan menjadi tempat untuk menyalurkan keputusan-keputusan kerajaan di mana kita patut merasa bertuah kerana dapat bertugas di Wisma Darul Aman.

Dalam hal ini, tambahnya, setiap daripada kakitangan kerajaan perlulah meningkatkan lagi keupayaan mereka ke tahap yang lebih tinggi serta mampu melaksanakan tugas yang diberikan itu dengan lebih baik lagi.

No comments: