WELCOME TO MY BLOG

Tuesday, May 26, 2009

Perginya tanpa pesan dan banyak menabur bakti : ADUN

Seperti biasa pada setiap minggu pada hari Ahad dan Selasa, saya akan berada di bilik saya bersebelahan dengan bilik Pegawai Khas, Hj Mohd Naaim yang telah kembali ke Rahmatullah pada 18 Mei 2009 lalu untuk menerima kunjungan tetamu dan ketua kampong yang ingin berurusan. Tetapi sejak kelmarin dulu (Ahad) dan hari ini (Selasa), saya memaksa diri untuk meninjau bilik pegawai khas saya yang terdapat segala fail-fail tentang surat menyurat berkaitan urusan dengan pelbagai jabatan, dokumen berkaitan ketua kampong/MKK, borang permohonan projek pembangunan dan lain-lain borang-borang yang telah disediakan olehnya.
Sepanjang hari tersebut, saya mengambil alih tugas yang ditinggalkannya, barulah saya sedar bahawa banyak tindakan yang telah diambil olehnya sebelum ini tanpa pengetahuan saya telah berjaya membantu meringankan tugas saya dan peranan ketua kampong. Banyak borang yang dibuat, penyusunan fail-fail mengikut kod dan jadual lawatan ke cawangan dan UPU ditampal untuk memudahkan rujukan dan tindakan susulan. Apa yang peliknya, beliau tidak pernah menceritakan apa yang dibuatnya itu kepada sesiapapun hatta saya selaku bosnya di PKWR.
Ternyata beliau seorang yang gigih dan tekun bekerja tanpa mengira masa. Ramai orang bercakap bahawa payah nak cari orang macam Hj Naaim ni. Pada saya sungguh sukar mencari pengganti seperti beliau yangt boleh dikatakan biliknya di PKWR seperti rumahnya. Jadi, biarlah saya menganalisa segala kerjabuat yang ditinggalkan tanpa perlu tergesa-gesa mencari pengganti yang belum teruji kelayakan dan kebolehannya.
Hari ini, saya telah memanggil anak keempatnya, Fatimatul Zahra agar menyerahkan segala dokumen-dokumen peribadi keluarganya untuk tindakan segera bagi mendapatkan bantuan khas pendidikan. Anak-anaknya seramai 8 orang, yang sulung akan menyambung pengajian di Kolej Komuniti di Jitra pada Julai 2009, yang kedua berada di Tahun 1 UKM Bangi jalam jurusan Usuluddin dan Falsafah, yang ketiga dalam Tingkatan Enam di Kolej Islam Sultan Alam Syah (KISAS) di Kelang dan yang keempat akan masuk Tingkatan Enam di SMKA Labu, Negeri Sembilan, yang kelima sedang menderita sakit kanser otak dan OKU serta sentiasa keluar masuk wad, yang keenam dan yang ketujuh masih belajar di Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam dan yang kelapan berusia 2 tahun 6 bulan. Isterinya, Jamilah Bt Mohamad tidak bekerja.
Hari ini juga, wakil peribadi saya, Pak Wan Yusuf berurusan dengan Tuan Penghulu Mukim Jerlun berusaha untuk membolehkan keluarganya mendapat bantuan rumah. Rumahnya sebelum ini telah rosak akibat banjir kilat pada Oktober 2007 lalu. Dalam tempoh tersebut, beliau dan keluarganya tinggal di Pondok Ayer Hitam. Sebelum ini, saya pernah mengarahkan beliau memberi maklumat tentang keadaan rumahnya yang rosak, status tanah dan merakam gambar bagi tujuan untuk mendapatkan bantuan rumah tetapi beliau tidak mempedulikannya. Bagi beliau, utamakan kepentingan orang lain dahulu dan beliau mengambil sikap 'tak apa' dalam segala hal.
Saya menyeru kepada pembaca blog ini yang berhajat menyalurkan zakat atau sedeqah kepada keluarganya boleh berbuat demikian dengan menghubungi saya secara telefon atau datang ke pejabat. Insyaallah niat baik kita semua untuk membantu keluarganya akan mendapat ganjaran yang selayaknya daripada Allah Azzawajalla.Amin.

No comments: