WELCOME TO MY BLOG

Monday, May 18, 2009

Saya kehilangan Amilin yang gigih- Ust Ghani

Sekitar jam 5.45 pagi, saya telah menerima panggilan telefon daripada Wakil Peribadi, Pak Wan Yusuf yang memaklumkan bahawa Pegawai Khas saya, Hj Mohd Naim telah kembali ke rahmatullah pada jam 4 pagi di Hospital Jitra. Beliau memaklumkan bahawa Hj Naim meninggaldunia akibat sakit penat. Saya terpinga-pinga dan mengeloh kerana tiada beritapun yang sampai kepada saya sebelum beliau dibawa ke Hospital.


Kali terakhir saya bersama Hj Mohd Naim ialah pada pagi Jumaat (15 Mei 2009) ketika saya, Pak Wan dan Pak Ngah Harun mengambilnya di PKWR jam 5.30 pagi untuk Solat Subuh di Masjid Kg Sanglang. Selepas Solat Subuh, kami dijemput ke kedai arwah bang Li oleh anaknya yang sangat berhajat agar saya membuat tahlil untuk roh bapanya. Selepas selesai menikmati sarapan pagi, kami bertolak ke PKWR.


Tiba di PKWR, beliau meminta izin saya untuk pulang kerana mendapat panggilan telefon daripada isterinya, Kak Milah bahawa anak-anaknya demam. Saya benarkan dan nasihatkan agar utamakan keluarga dan rumahtangga manakala program yang beliau susun pada hari itu akan saya uruskan dengan Pak Wan.


Saya dan Pak Wan pergi ke rumah Hj Abu Seman, Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu untuk meninjau keadaan sebuah rumah yang digenangi air akibat hujan lebat petang sebelumnya. Selepas itu, kami menuju ke Lana Bulu menziarahi kematian ibu kepada Hj Hashim, bekas Bilal Masjid Lana Bulu. Selanjutnya kami menziarahi pula menantu Tok Chin Wak di Kubang Sepat yang meninggaldunia akibat serangan jantung. Selepas itu, kami menuju ke nat Kuala Jerlun bersama Ketua Kampong Tandop Kedabu, Pak Hassan dan Ketua Kampong Kuala Jerlun, Fadzil.


Kira-kira sejam di sana, saya dan Pak Wan bertolak pulang dan saya tunaikan Solat Jumaat di Masjid Kubang Rotan. Sekitar jam 3.45 ptg, saya ke jeti Kuala Kedah untuk ke Langkawi kerana memenuhi dua urusan penting iaitu usrah BPPNK selepas Maghrib dan mesyuarat BPPNK keesokkannya.


Keesokannya, hari Ahad, saya bertolak ke PKWR kira-kira jam 10.00 pagi. Apabila tiba di pejabat, saya mendapati pintu pejabat masih berkunci. Saya terus menelefonnya dan beliau hanya memaklumkan tidak sihat @ penat. Apabila saya tanya tentang keadaan anak-anaknya, beliau hanya menyebut anaknya masih di wad 5A Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Beliau langsung tidak menceritakan halnya dan keluarganya kepada saya tentang apa yang berlaku sepanjang saya berada di Langkawi. Kemudian saya menghubungi Pak Wan dimana dia akan ke rumah Hj Naim untuk mengambil kunci.


Apabila Pak Wan tiba di PKWR, beliau telah menceritakan kepada saya tentang isterinya dan anak-anaknya yang sakit dan berada di wad di Hospital. Saya bercadang akan menziarahi anak-anaknya pada jam 5.00 petang. Di PKWR, saya sempat meneliti beberapa tugasan dan mula didatangi oleh beberapa sahabat seperti Zulkifli Md Isa, Ust Azhari, Hj Marzuki dan Hj Abu Seman. Kami berbual panjang tentang isu semasa, isu muktamar PAS Pusat dan sebagainya.


Tanpa disedari masa sudah berlanjutan hingga 6.30 petang. Saya bergegas menunaikan Solat Asar dan bergerak pulang. Dalam perjalanan pulang, saya menerima SMS daripada bapa saudara, Onn yang ingin berjumpa dengan saya. Saya tiba di rumah selepas Solat Maghrib di Surau Taman Sayang. Saya mengeluh dan menyesal kerana tidak sempat menziarahi Hj Naim dan anak-anaknya di Hospital. Saya bercadang akan menziarahi mereka pada hari ini selepas selesai 2 mesyuarat di Menara BDB dan di Wisma Darul Aman.


Cadangan hanya tinggal kenangan apabila saya mendapat berita tentang kematiannya pada pagi tadi. Sekitar jam 7.50 pagi, saya sudah sampai di rumah ibu bapanya dan sebak melihat jenazahnya terbujur kaku di hadapan isteri dan anak-anak. Saya cukup sedih dan bersimpati dengan apa yang berlaku. Saya telah menyerahkan wang melalui Ust Ridhuan untuk diserahkan kepada Kak Milah kerana saya tidak tahan dengan suasana sedih tersebut.
Ramai kalangan sahabat handai beliau yang datang menziarahi dan solat jenazahnya di Surau Pondok Ayer Hitam. Ust Mohd Rejab, Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Jerlun telah mengimamkan solat jenazahnya dan saya berada di belakangnya dan berdoa untuknya.
Saya pasrah dengan apa yang berlaku dan saya meredhai segala ketentuan Ilahi.llah telah menjemputnya dalam keadaan kami begitu rancak menyusun program PKWR, bertemu rakyat, berdialog dengan UPU,memantau peranan Ketua Kampong dan berbagai-bagai lagi.

Saya kehilangan seorang Pegawai Khas yang setia, berdedikasi dan sabar dalam kehidupannya.
Saya mendoakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan semoga beliau ditempatkan di Syurga bersama-sama para Anbiya, Syuhada dan Solihin, Amin.

2 comments:

ALAM said...

ALFATEHAH. SEMOGA ALLAH MENCUCURI RAHMAT KE ATAS ROHNYA. SEMOGA KELUARGANYA TABAH MENGHADPI CABARAN YANG AKAN MENDATANG.

najahudin said...

takziah.. masih ingat kenangan ana bsamanya dlm pru lalu.. walaupun singkat, kita tetap kenal dgn mereka yg komited
- ustaz najahudin